Anak luar nikah Malaysia bertambah: purata 2500 sebulan, 84 sehari.

>> Friday, July 02, 2010

"perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).

Anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009."


Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari. "

SIAPAKAH HARUS DIPERSALAHKAN????
Tiada gunanya menunding antara satu sama-lain.

Yakin dan percayalah....selagi mana hukum Islam/ undang-undang Islam tidak dilaksanakan atau ditegakkan dinegara ini selagi itulah perkara ini tidak dapat diselesaikan....

Ingat!!! kita ini ciptaan Allah, dia yang memiliki kita, dia yang mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk untuk kita...
Fikir-fikirkan.....
_________________

257,000 sijil kelahiran tanpa bapa

IPOH 1 Julai – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan 257,000 sijil kelahiran yang dikeluarkan dari tahun 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.

Titah baginda, berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, ini bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari.

Tambahnya, perangkaan dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 70,430 anak luar nikah didaftarkan iaitu 30,978 beragama Islam, Hindu (18,085), Buddha (17,236) dan Kristian (3,395).
Baginda bertitah, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

“Nyatalah masalah anak luar nikah makin meningkat. Lebih mendukacitakan, perlakuan meninggalkan bayi baru lahir termasuk di tepi-tepi jalan dan di dalam tong sampah semakin menjadi-jadi.

“Perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini

_______________________
BEBERAPA PERMASAALAHAN HUKUM ANAK LUAR NIKAH

1) Soalan:
Seorang hamba Allah ada calun isteri dari anak luar nikah. Apa hukumnya mengahwini anak luar nikah itu; sedangkan nabi menyarankan memilih dari keturunan yang baik2?

Jawapan:
Pada hakikatnya anak luar nikah adalah seperti insan-insan lainnya. Dia lahir ke dunia ini dalam keadaan suci dan bersih dari sebarang dosa dan noda. Ibarat kain putih yang tidak tercorak. Ibarat kapas yang tak tercemar. Semakin hari anak ini semakin membesar, dan penjaganyalah yang bertanggungjawab mencorak kehidupannya. Agama, akhlak dan dunianya. Jika dicorak dengan baik, anak ini akan menjadi baik. Jika buruk, maka akan buruk jadinya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibubapanyalah yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Malahan, jika dia beriman dengan Allah dan beramal soleh, ditambah dengan ketakwaannya yang mendalam, di sisi Allah dia adalah orang yang mulia. Dia lebih mulia darjatnya jika dibandingkan dengan anak halal yang sentiasa bergelumang dengan maksiat.

Kerana Allah tidak memandang kemuliaan seseorang itu kepada rupa parasnya, darjat keturunannya, pangkat, bangsa apakah dia dan sebagainya. Allah melihat dan menilai keimanan dan ketakwaannya.

Inilah intipati ajaran Islam. Di sinilah letaknya keagungan Islam....

Di dalam Islam tidak ada konsep - menanggung kesalahan orang lain. Siapa yang buat salah dialah yang akan menanggung akibatnya. Apabila Abu tidak sembahyang, maka dialah yang akan menanggung dosanya. Bukan si Ahmad kawan serumahnya dan bukan juga orang lain. Tetapi ada orang kata Ahmad juga berdosa! Memang, si Ahmad juga berdosa, tetapi bukan akibat Abu tidak sembahyang. Berdosa sebab tidak menjalankan satu tanggungjawab lain, iaitu amar makruf & nahi munkar. Dia buat tak tahu sahaja apabila si Ali tidak sembahyang. Tidak ditegurnya, tidak diajak dan sebgnya.

Anak zina lahir dalam keadaan suci. Dia tidak lahir bersama-sama dosa yang dilakukan oleh ibubapanya. Yang melakukan maksiat zina adalah ibubapanya, maka ibubapanyalah yang akan menanggung dosa, bukannya anak ini.

Ini adalah prinsip hukum di dalam Islam. Lihatlah mana-mana kitab-kitab Usul Fikah dalam bab hukum (mahkum fih), sudah tentu inilah yang diperkatakannya -> Tidak sah mentaklifkan sesuatu kepada seseorang agar dikerjakan atau ditinggalkan oleh orang lain.

Firman Allah Taala:
"Bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (al-Najm, 38)

Antara dasar pembinaan hukum-hakam dalam Islam ialah -> Memelihara keturunan. Sebab itulah Allah Taala mengharamkan perzinaan dan sebaliknya menghalalkan pernikahan. Kemudian disyariatkannya juga iddah selepas berlaku perceraian. Diharamkannya juga menasabkan (mem'bin'kan) kepada yang bukan bapa sebenarnya.

Semuanya itu adalah bertujuan memelihara keturunan. Agar tidak berlaku percampuran, kesamaran dan pencemaran keturunan.

Perzinaan adalah satu bentuk persetubuhan yang tidak dapat dipertanggungjawabkan. Tumpahan benih dari kedua-dua pihak (lelaki&perempuan) dalam hubungan ini tidak terhormat dan juga tidak dapat dipertanggungjawabkan. Berbeza dengan tumpahan benih dari hubungan perkahwinan. Ianya terhormat dan boleh dipertanggungjawabkan.

Benih yang tumpah secara tidak terhormat, pada umumnya akan menyebabkan banyak kesan negatif yang berkait-kait.

Salah satu ciri-ciri calon isteri/suami yang digalakkan untuk dikahwini ialah seseorang yang dari keturunan orang baik-baik, seperti anak-anak para ulamak dan orang-orang soleh.

Menurut para fuqahak, makruh hukumnya mengahwini anak zina dan anak orang fasiq. Alasannya, kerana ia adalah sesuatu yang mengaibkan sebab rendah keturunannya (dari sudut agama bukan kebendaan). Dan, kerana boleh jadi anak itu akan terkesan dengan perangai serta tingkah laku bapanya. Terdapat satu alasan lain mengenai hukum ini dari sabda Rasulullah s.a.w. yang menyarankan agar penumpahan benih seseorang itu hendaklah di tempat yang terpilih serta melarang meletakkannya di tempat yang tidak sesuai.

Namun begitu, hadis di atas telah dipertelingkahkan kesahihannya. Kata Abu Hatim al-Razi, hadis ini tidak ada asalnya. Ibnu Sholah pula mengatakan, hadis ini ada sanadnya tetapi banyak pro dan kontranya. Namun al-Hakim mensahihkannya

Begitu juga, dimakruhkan mengahwini anak pungut atau anak yang tidak diketahui siapa ibubapa sebenarnya.

Baiklah, kita lihat kembali hukum makruh di atas, apakah alasannya? Dari apa yang diberikan oleh ulamak ialah:
1. Perkara yang mengaibkan. Memang, ini bukanlah sesuatu yang diada-adakan atau dibuat-buat. Bayangkan seorang yang alim mengahwini anak tauke judi! Sudah tentu ia akan menjadi buah mulut orang. Dengan ini statusnya (harga diri) akan menurun dan akibatnya orang akan mula memaling diri dari mengambil manfaat dari ilmunya.

2. Barangkali sikap anak ini terpengaruh dengan sikap dan tabiat orangtuanya. Perkara ini juga tidak perlu dijelaskan secara terperinci. Kita tahu bagaimana keadaan seseorang yang rosak akhlaknya mendidik anak-anak mereka......

Selepas melihat penjelasan di atas dengan teliti, cuba kita lihat kembali hadis yang saya rasa sering diulang-ulang apabila hal-hal perkahwinan dibicarakan. Iaitu sebuah Hadis muttafaqun alaih, yang bermaksud: "Wanita itu dikahwini kerana empat perkara, kerana hartanya, kecantikkannya, keturunanannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana nanti engkau akan beruntung."

Sabdaan di atas begini maksudnya-> Biasanya orang mengahwini wanita kerana empat perkara: Harta
Kecantikkan
Keturunan
Agama

Dari keempat-empat perkara di atas, nabi s.a.w menegaskan agar memilih kerana agamanya.
Jika seseorang itu berkahwin semata-mata kerana hartanya, ia akan ditinggalkan setelah mati. Jika kerana cantiknya, ia akan pudar setelah tua. Jika kerana keturunannya, ia tidak menjamin kemuliaan di sisi Allah. Tetapi jika kerana agamanya, ia akan memperoleh keuntungan melebihi keuntungan harta, mendapat isteri yang punya kecantikan hakiki (batin) dan membuka peluang istimewa untuk berada di sisi Allah sebagai insan yang mulia.

Di sini kita dapat melihat bahawa Rasulullah s.a.w. lebih menitikberatkan tentang agama dalam pemilihan jodoh. Namun begitu, tidaklah bermakna syarak mahu kita mengenepikan soal harta, keturunan dan kecantikkan samasekali... Hanya saja, soal agama perlu didahulukan, kemudian barulah yang lain-lain.

Tentang wanita beragama/solehah, Rasul s.a.w telah bersabda:
"Hendaklah kamu memperoleh hati yang berzikir, lidah yang berzikir dan seorang isteri yang mukminah yang akan membantu melaksanakan urusan akhirat." (Riwayat al-Tarmizi, Ibnu Majah, Ahmad, Abu Nu'im, Ibnu Hajar).

Abdullah bin AMru bin al-Ash r.a. dari Rasulullah s.a.w., sabdanya:
"Dunia adalah kesenangan, dan sebaik-baik kesenangan ialah wanita yang solehah." (riwayat Muslim, al-Nasa'i dan Ibnu Majah)

2) Soalan:
Tidakkah ini akan mengundang kemudharatan kerana tidak mengikut saranan nabi agar mengawini anak yang baik.

Jawapan:
Hukum dan alasan-alasannya telahpun dijelaskan di atas.

Kemudaratan meninggalkan saran fuqahak terhadap masalah ini tidaklah sampai membawa kepada tercebur ke dalam dosa dan maksiat. Hanya.. Mudarat dari sudut: . Kerukunan rumahtangga yang akan didirikan. . Keturunan yang akan dilahirkan. Apakah ia akan mewarisi sifat-sifat dari keturunan sebelumnya? . Hala tuju hidup beragama keluarga berkenaan.
Tetapi jika anak zina itu di didik oleh ibunya atau penjaganya dengan baik, di persekitaran kehijauan syariat Islam. Setiap hari jiwa dan fikirannya sentiasa disirami dengan wahyu Ilahi, lalu dia membesar dengan cinta yang membara terhadap al-Khaliq, sudah tentu kemudaratan di atas tidak akan berlaku.

3) Soalan:
Dari segi hukum anak luar nikah itu tidak boleh dibintikan kepada bapa? Apakah berdosa jika untuk mengelakkan dari kemudharatan bila dia mempunyai anak nanti, anak luar nikah itu tetap mengekalkan binti bapanya (tidak ditukar pada binti ibunya)?.

Jawapan:
Anak luar nikah tidak berbapa. Dia tidak boleh dibinkan (dinasabkan) kepada 'bapa'nya. Haram hukumnya berbuat demikian. Sebahagian dari dosa besar ialah menasabkan diri kepada bukan bapa sebenarnya. 'Bapa'nya itu adalah orang asing bagi dirinya. Ia tidak memberi kesan terhadap hukum sebagaimana bapa-bapa dari pernikahan yang sah. 'Bapa' ini tidak ada kaitannya dalam saoal waris, perwalian, nafkah dan sebagainya. Dia adalah seorang bapa yang tidak diiktiraf oleh syarak.

Saudara mengetengahkan mengenai 'mengelakkan kemudaratan'... Kemudaratan bagaimana? Sudah tentu kemudaratan kerana malu. Namun begitu, kita tidak boleh melupakan satu kemudaratan yang lebih besar dan lebih banyak yang akan menanti jika dibinkan juga kepada 'bapa'nya itu.

Membinkan kepada 'bapa'nya.. Bukankah ia satu pembohongan? Bagaimana tidak, anak ini lahir bukan dari hasil perkahwinan yang sah. Izin untuk membinkan kepada seseorang hanyalah untuk anak yang lahir hasil dari perkahwinan yang sah sahaja. Jadi, perlakuan ini seolah-olah mahu membohongi semua orang bahawa anak ini adalah anak aku hasil dari perkahwinan yang sah. Seolah-olah mahu menukar fakta kebenaran.

Dengan pembohongan ini, akan berderet-deretlah pula kebohongan-kebohongan lain yang akan bermunculan. Kemudian darinya juga akan lahir pendustaan-pendustaan berikutnya.. Begitulah seterusnya.... Dari masalah perwalian, warisan dan sebagainya... Hasilnya akan terjadilah penghalalan perkara-perkara yang haram berlaku.. Apakah lagi mudarat yang paling besar selain dari mudarat ini?

4) Soalan:
Dari segi hukum anak luar nikah tadi tiada apa2 ikatan dengan bapanya. Jadi dia tidak boleh bersalaman/bersentuhan dengan bapanya? Jika bapanya menghulurkan tangan untuk bersalam, tetapi dia enggan berbuat demikian, tidakkah dikira menderhaka?

Jawapan:
'Bapa'nya adalah orang asing.. Dia bukan bapa yang sah.. Kedudukkan ini tetap akan selamanya begitu. Inilah hakikat.. Inilah sebetul-betulnya.. Ia tidak dapat diubah, sekalipun undang-undang dunia mengesahkan tetapi fakta kebenaran tetap tidak beralih.
Masalah hukum yang berhubung kait antara perempuan dan lelaki asing (ajnabi), juga terkena antara anak ini dengan 'bapa'nya. Bersentuhan kulit dengan lelaki asing adalah haram, begitulah juga dengan 'bapa'nya ini.

Dan apabila kita khususkan mengenai berjabat tangan (salam), ada sebahagian ulamak yang membahaskannya secara terperinci mengenainya. Antara yang terbaik ialah fatwa dari dr Yusof al-Qardhawi di dalam al-Fatawa al-Mu'ashirah, vol 2.

Jika 'bapa' anak ini menikahi ibunya maka hukumnya -> 'Bapa' ini menjadi suami kepada ibunya. Maka hukum yang akan berlaku berubah dari lelaki asing kepada hukum antara anak ini dengan suami ibunya... Dia menjadi bapa tiri.

5)Soalan:
Siapakah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah terhadap anak yang lahir hasil perzinaan


Jawapan :
Zakat fitrah kepada anak hasil daripada perzinaan perlu dikeluarkan oleh ibu yang melahirkannya atau waris kepada ibu berkenaan.



Read more...

Web Counters
Old Navy Promotion Code