SAHABAT SEJATI..susah dicari,ditinggal,dilupakan...

>> Monday, November 21, 2005

"Hargailah sebuah persahabatan yang sudah dijalin...
Sahabat sejati amat sukar dicari, sukar untuk ditinggalkan dan mustahil untuk dilupakan"....
SAHABAT...
BAIT-BAIT puisi pujangga terkenal, Khalil Gibran, memberi gambaran betapa seseorang manusia itu memerlukan sahabat. Ahli Psikologi, Abraham Maslow pula mengkelaskan persahabatan sebagai satu aspek keperluan sosial manusia dalam Hierarki Keperluan Manusia yang diperkenalkannya.
Oleh itu, atas hukum normal, seseorang manusia itu tidak dapat lari daripada keinginan untuk bersahabat dengan manusia lain, tidak kira bagaimana bentuk persahabatan yang ingin dijalinkan itu.
Persahabatan, difahamkan sebagai hubungan personal yang wujud atas dasar kepentingan untuk satu pihak dengan pihak yang satu lagi serta membabitkan kemesraan yang mempunyai batasan.
Maka, tidak keterlaluan jika persahabatan adalah antara perkara asas dalam kehidupan kita dan bila seseorang itu bersahabat, akan lahir satu perhatian istimewa yang biasanya dari sudut moral. Seseorang sahabat dikatakan dapat membantu ‘membentuk’ diri kita. (Helm, Bennett; Ensiklopedia Falsafah, The Stanford).

Sesuatu persahabatan itu boleh terjalin dalam banyak cara.Ada yang sudah berkawan sejak kecil, ada yang berkenalan di tempat belajar, ada yang bertemu di tempat kerja dan tak kurang juga yang mengenali kawan melalui kawan.Dalam kecanggihan teknologi sekarang ini pula, wujud persahabatan yang dikategorikan sebagai persahabatan virtual. Medium persahabatan antara rakan virtual ini pastilah ruang sembang di Internet atau e-mel. Kecanggihan teknologi jugalah ada ketikanya menemukan semula sahabat yang sudah lama terpisah.Tidak dinafi kan, kadangkala persahabatan virtual ini sama seperti hubungan persahabatan yang biasa, malah lebih akrab daripada yang bersua muka setiap hari.Semuanya bergantung kepada bagaimana kita menghargai sesebuah persahabatan itu. Ada persahabatan yang kekal sehingga ke akhir hayat. Bagaimana mereka boleh mengekalkan persahabatan dalam tempoh yang sedemikian lama?
Sudah tentu jalinan ini `dipegang’ dengan nilai murni seperti kejujuran, kepercayaan, tolak-ansur, kasih sayang dan rasa hormat.Masing-masing memainkan peranan sebagai sahabat yang baik dan setia. Pendek kata saling memberi dan menerima. Jika tidak, masakan ada yang sanggup berkorban kepentingan sendiri demi melihat kebahagiaan sahabat yang dikasihi.Semuanya terjadi atas dasar persahabatan yang tulus dan ikhlas. Masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain.

Namun, tidak semua indah dalam hubungan persahabatan.Ada yang tidak bernasib baik, ditakdirkan bertemu dengan ‘rakan toksik’ saja menyusahkan hidup, malah membuatkan seseorang itu tidak percaya bahawa masih wujud persahabatan yang jujur.Seharusnya, hubungan persahabatan itu menjadikan seseorang itu insan yang lebih baik, bukan menambah ‘beban’ yang sedia ada.Apapun, pokok-pangkalnya pada diri sendiri. Jika mahu sahabat yang baik, haruslah menjadi sahabat yang baik juga. Hargailah persahabatan yang sudah anda jalinkan. Sahabat sejati amat sukar dicari, sukar untuk ditinggalkan dan mustahil untuk dilupakan.

PERTUA MEMELIHARA SEBUAH PERSAHABATAN.
- Berikan masa untuk sesebuah persahabatan ‘tumbuh’
“Ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mewujudkan persahabatan yang akrab.
“Satu daripada sebab mengapa ia mengambil masa sehingga tiga tahun adalah kerana dalam tempoh berkenaan, mereka (sahabat) akan melalui beberapa konfl ik yang dapat menentukan persahabatan itu dapat bertahan atau tidak”.
(Friendshifts, tulisan Jan Yager)
- Komunikasi asas persahabatan
Berbicara adalah komponen utama dalam persahabatan. Bila seorang teman menceritakan idea atau perasaannya, beliau mengharapkan rakan yang mendengar itu memberikan maklum balas. Jika hanya beliau saja yang banyak bercakap, beliau akan merasakan seolah-olah rakan yang mendengar itu tidak berminat dengan apa yang disampaikan.

- Luangkan masa
Ya, memang sukar untuk meluangkan masa.Lebih-lebih lagi bila kita begitu sibuk menguruskan kehidupan sendiri. Tapi anda sebenarnya tidak memerlukan masa berjam-jam untuk memastikan hubungan persahabatan terus bertahan.
-Pastikan ia berterusan dengan:
-Hantar e-mel. Maklumkan atau tanya khabar teman anda melalui e-mel.
-Hubungi mereka sekurang-kurangnya sekali seminggu. Perbualan telefon tidak semestinya lama.
-Sekali-sekala, hantarkan kad atau e-kad kepada mereka. Tidak semestinya menunggu waktu tertentu saja.
-Kirimkan gambar. Sekeping gambar menyampaikan 1,001 cerita.
-Makan bersama sekurang-kurang sekali dalam sebulan. Lebih kerap lebih bagus.

RAKAN TOKSIK
Seperti toksik, rakan jenis sebegini sememangnya berbahaya kepada kita. Kenal pasti ciri rakan toksik dan jika anda terjebak dengan mereka, cepat-cepat selamatkan diri.
-Seseorang yang hanya berkawan dengan seseorang itu, semata-mata untuk kepentingan dirinya atau lebih tepat lagi, mempergunakan rakan berkenaan untuk tujuan tertentu.
-Pengkhianat. Tidak ada yang perkara yang lebih memeritkan daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh seorang yang bergelar sahabat.
-Ada pula rakan yang terlebih memberi perhatian. Rakan jenis ini suka mengawal apa saja yang kita lakukan, seolah-olah nak menentukan cara hidup kita.
-Kritik tak bertempat. Kadangkala kritikan mereka itu boleh menjatuhkan harga diri kita. Dia juga suka mencari kesilapan kita. Ada saja yang tak kena jika berkawan dengan mereka ini.
-Pentingkan diri sendiri. Mereka sentiasa tiada masa untuk diluangkan bersama anda. Terlalu sibuk fikirkan hal sendiri.Rakan ini sering mahu dilihat lebih hebat daripada rakannya. Walaupun persaingan adalah sesuatu yang sihat dalam persahabatan, jika melampaui batasan tetap membawa kemudaratan.
-Terlalu bergantung. Rakan jenis ini tidak boleh berenggang dengan temannya. Kalau boleh hendak `berkepit’ 24 jam.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
" Perumpamaan seorang muslim sesama muslim didalam kasih sayangnya seumpama sekujur tubuh, apabila sakit salah satu anggota maka sakit keseluruh anggotanya"...

Read more...

CSP (1)... Antara Wadi Nil vs Wadi Gharbi

>> Friday, November 11, 2005

Catatan sebuah perjalanan..... (1)

Bismillahirrahmanirrahim
Sekadar Coretan...
SYUKUR...Alhamdullilah..Syukur!!..kehadrat mu ilahi ..saat ini dan tika ini masih lagi diberi nikmat kehidupan buat diri ini... Pejam-celik, pejam-celik..Hari ini..4 purnama lebih berkelana di Wadi Gharbi ini..begitu pantas masa berlalu..kadang-kadang seronok,kadang-kadang sedih datang menjenguk,biasalah sudah menjadi adat seorang perantau.Terima kasih tak terhingga buat sahabat-sahabat Highmead terutamanya Ahli Bait Galshworthy dan Ahli Bait syuqqoh yang banyak membantu dari mula permusafiran hingga kesaat ini.Tiada emas dan permata untuk diberi, cuma mengharapkan jasa kalian dibalas dengan setimpanya..
FIRST TIME...Masih basah lagi dalam ingatan ini..pertama kali kaki ini menyentuh Aiport Wadi Gharbi ini, perasaan berdebar dari Wadi Nil beransur-ansur hilang dimamah keindahan dan ketenangan Wadi Gharbi,apatah lagi dibawa pula ke satu tempat yang dulunya pernah terlintas dalam hati ini prasangka buruk terhadap pimpinan..Maaf atas segalanya...
HIGHMEAD/EiHS...Seolah-olah bukan berada di Wadi Gharbi..tenang setenangya..permandangannya begitu indah sekali,Mabruk!! buat pimpinan..kadang-kadang diri ini terasa kagum dan malu terhadap sahabat-sahabat Highmead..bukan sahaja English,Arabic fushah pun power..teringat kat Wadi Nil..semuanya Ammie..dalam kuliah pun Ammie..terasa Fushah suatu yang asing bagi masyarakatnya..Sebulan lebih juga diri ini berkelana di Highmead..Terima kasih banyak-banyak ahli bait Syuqqoh yang banyak membantu.Tak tahu nak kata apa..moga Allah sahaja membalasnya...Lampeter,Carmarthen,Aberywerysweth,Bamouth dan tak lupa juga Kampung Hungtinton yang banyak tersimpan kenangan yang takkan dilupai..
MANCHESTER...18 Galshworthy,cheetam Hill..diri ini masih setia lagi bersamamu...entah sampai bila..Hari-hari melalui Arndale,Picaddily Gardern,Hingga ke Manchester Metropolitan Universiti, kadang kala terasa bosan,tiada siapa yang hendak menemani hanya titisan hujan, hembusan angin dingin dan sinar mentari kadang-kadang serta sepasang roda getah yang banyak berjasa saja mampu menemani..namun..diri ini syukur tak terhingga pada mu ilahi..atas qoda'dan qada mu itu..
ANTARA WADI GHARBI VS WADI NIL...Memang jauh panggan dari api..Ada baiknya,ada buruknya..Seindah mana Wadi Gharbi,Secanggih mana Wadi Gharbi..namun hati ini masih lagi terpikat terhadap Wadi Nil..Biarlah keserabukkan Wadi Nil,biarlah kerenah masyarakat Wadi Nil membosankan namun terasa ada kemanisan yang tiada di Wadi Gharbi..Teringat sabda nabi SAW :Hikmah itu barang tercicir bagi orang mukmin, dimana kamu jumpai maka ambilah ia..Mungkin ada perkara boleh dicontohi,dan ada perkara perlu dijahui...
Abar's
05.14am

Read more...

PERUTUSAN AIDILFITRI 1426 Oleh Dato'Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

>> Wednesday, November 02, 2005

Assalamualaikum wmt wbh.
BERSYUKUR kita ke hadrat Allah SWT yang memberikan limpah kurnia dan kekuatan untuk menyempurnakan ibadah puasa pada bulan Ramadan tahun ini dan mudah-mudahan kita memperolehi takwa yang dijanjikan-Nya.Bulan yang penuh keberkatan ini adalah bulan ibadah yang paling berharga terutama amalan pada malam al-Qadar yang hanya ada pada bulan ini. Saya yakin setiap amalan kita yang ikhlas akan mendapat balasan yang sewajarnya.
Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri.
Pembaziran adalah dilarang oleh agama kita manakala sambutan di luar batas syarak mestilah dijauhi. Satu Syawal sesungguhnya bukan pesta makanan dan hiburan yang melampau tetapi adalah waktu kita menzahirkan kesyukuran melalui aktiviti silaturrahim sesama insan.
Ketika kita semua bergembira, umat Islam harus berdukacita dengan gejala negatif yang berterusan melanda sebahagian masyarakat kita hari ini.
Keruntuhan akhlak di kalangan anak muda kita mesti diberikan perhatian bersungguh-sungguh yang menyeluruh, sama ada melalui pendidikan, kawalan media, pembinaan institusi keluarga yang mantap dan mungkin melalui undang-undang yang sesuai.
Kerajaan saja tidak mungkin berkeupayaan seperti yang kita telah saksikan selama ini. Maka saya mengajak semua rakyat mengangkat agenda pembinaan masyarakat ini secara bersama.
Umat Islam harus menyedari bahawa ancaman terhadap mereka berterusan termasuk sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Di bumi suci Palestin, ribuan rakyatnya terus menjadi mangsa kezaliman tentera rejim Zionis Israel.
Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam masih lagi di tangan Zionis. Siapakah yang akan membebaskan bumi suci ini?
Di Iraq, penaklukan oleh kuasa-kuasa besar terus ditolak oleh rakyat melalui pengeboman hampir setiap hari. Begitu juga di Chechnya di mana umat Islam sentiasa menjadi mangsa kekejaman tentera Rusia yang melakukan kezaliman tanpa sebarang perikemanusiaan.
Begitu juga dengan nasib saudara se-Islam serta serumpun kita di Selatan Thailand. Mereka terus dinafikan hak dan semestinya diberikan pembelaan oleh seluruh umat Islam. Saya juga ingin membuat seruan khusus kepada seluruh masyarakat dunia khasnya umat Islam untuk membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Pakistan dan Kashmir.
Tanggungjawab umat Islam yang terpisah akibat pembahagian geografi dan politik ini bukan sekadar menginsafi peristiwa sedih ini tetapi lebih daripada itu ialah mencari jalan supaya umat Islam dihormati haknya untuk terus hidup dalam mana-mana negara dengan hak asasi mereka dilindungi. Tindakbalas melalui keganasan semata-mata tidak mungkin boleh menghasilkan penyelesaian kepada kegawatan ini.
Yang perlu ialah tindakan bersatu dan tegas umat Islam termasuk oleh kerajaan negara Islam, gerakan Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan badan Islam antarabangsa seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), bagi menyuarakan tuntutan keselamatan umat Islam seluruh dunia.
Jika umat Islam yang terpisah ini bertindak mengikut kepentingan negara dan kelompok masing-masing, percayalah kita akan ditindas secara berterusan dan sistematik.
Mungkin kita di Malaysia yang sedang aman ini boleh menerajui agenda besar ini.
Akhirnya, marilah kita memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala kekurangan dan kesilapan yang kita lakukan sepanjang tahun yang lalu dan berdoa agar masa depan umat Islam lebih berjaya dan meningkat daripada sebelumnya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar; Walillahil Hamd.

Read more...

Web Counters
Old Navy Promotion Code