Palestine!!!! Apakah sumbangan kita?
>> Monday, May 15, 2006
Sengaja dimuatkan artikal ini di dalam blog....untuk tatapan buat kian kalinya... sesungguhnya diri ini amat tersentuh apabila membaca artikal ini, bila mengenangkan nasib yang berlaku terhadap ummat Islam di Palestin kini...kadang-kadang diri ini terfikir...apakah sumbangan yang telah dilakukan untuk palestin? adakah sekadar terharu, pilu begitu sahaja...sedangkan seorang anak kecil sanggup menyumbangkan US1,800 manakala abangnya, pula US180. Sedangkan Seorang wanita muda pula sanggup menyerahkan cincin pertunangannya semata-mata untuk palestin.....tapi diri ini!!!!!...sekurang-kurangnya angkatlah tangan kelangit memohon pertolongan dari Allah...untuk bumi palestin...
"HARI INI 15 MEI tarikh yang amat menyedihkan buat rakyat Palestin. Ulang tahun ke-58 peristiwa Nakba pada 15 Mei 1948 yang menyaksikan ratusan ribu penduduk Palestin diusir dari negara sendiri. Bencana kemanusiaan oleh askar rejim Zionis yang melakukan lebih 50 pembunuhan beramai-ramai demi satu matlamat - mewujudkan negara Israel pada 1949. Pengusiran dan pembunuhan warga Palestin yang dilarang kembali kampung halaman bagi membolehkan Kerajaan Israel membentuk satu negaranya di bumi Palestin. Itulah hakikatnya, kewujudan Israel atas darah dan kesengsaraan penduduk Palestin. ‘Hutang budi’ penduduk Palestin dibalas pula oleh Israel dengan kekejaman yang tiada noktahnya.
Bencana kemanusiaan yang menyaksikan lebih 500 perkampungan dan pekan Palestin dimusnah atau diduduki secara haram oleh orang Yahudi dan diberi nama baru. Kumpulan pertama 726,000 pelarian Palestin disusuli pula lebih 200,000 lain yang terpaksa meninggalkan kediaman di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pada 1967 selepas Israel menyerang Jordan dan Mesir dengan menakluk kawasan itu serta Baitulmaqdis Timur. Akibatnya, lebih empat juta pelarian Palestin hidup merempat bertaburan di seluruh dunia - dari Mesir, Jordan, Syria, Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka yang dibenarkan tinggal di wilayah yang dicerobohi rejim Zionis itu pula cuba dihapuskan identiti mereka sebagai anak jati Palestin. Nakba tidak pernah dilupa warga Palestin hingga ke hari ini biarpun Israel dan kroninya cuba memadamkan ingatan itu dengan mencanangkan peristiwa Holocaust mereka yang diraikan dan dikenang dunia setiap tahun. Nakba sebaliknya biarpun tidak sepopular Holocaust, tetap kekal dalam ingatan negara yang bersimpati dengan perjuangan Palestin. Identiti Palestin yang cuba dipadamkan Israel, sebaliknya menjadi satu jenama yang melekat di segenap hati penduduk Islam seluruh dunia.
Nakba bukan sekadar peristiwa tetapi menjadi satu tonggak asas perjuangan hakiki warga Palestin - perjuangan mempertahankan hak mereka - tanah air dan hak untuk kembali bagi jutaan pelarian Palestin. Perjuangan yang malangnya, belum dapat dizahirkan dalam bentuk sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis ibu negerinya, setakat ini. Cuma apa lebih menyedihkan, kehadiran Nakba tahun ini berlaku serentak ketika penduduk Palestin yang tidak ubah merempat di wilayah sendiri - Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, kini ibarat nyawa-nyawa ikan. Leher mereka dijerut pelbagai sekatan Israel dan kroninya si ‘Uncle Sam’ atau Amerika Syarikat,Kesatuan Eropah yang bertindak menyekat bantuan kewangan hanya kerana penduduk Palestin memilih Hamas sebagai kerajaan mereka.
Sekatan kewangan itu ditarik balik Rabu lalu -selepas dua bulan setengah penduduk Palestin dihimpit masalah dihalang bekerja, bergerak bebas di sempadan, penghantaran makanan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disekat dan gaji pekerja awamnya tidak dapat dibayar apabila Pihak Berkuasa Palestin yang dipegang Hamas tidak mempunyai sesen pun. Penderitaan yang diberi amaran oleh PBB dan Bank Dunia bakal menyaksikan penduduk Palestin kebuluran andai dibiarkan. Bukan setakat makanan yang ibarat barangan mewah biarpun sepatutnya asas keperluan utama, mereka turut disekat daripada bekerja, dihalang bergerak bebas dengan diri sentiasa menjadi sasaran senjata sentiasa mengekori setiap langkah kaki. Terbaru, bekalan minyak pula dihentikan Israel. Selain wang, makanan dan tenaga, sumber ubat-ubatan mereka turut terjejas. Nasib si kecil dalam inkubator belum pasti menjengah sinar bumi Palestin kerana bekalan ubat yang belum tentu.Mungkin sukar bagi kita membayangkannya, apalagi pada zaman abad ke-21, masih ada insan merempat di bumi sendiri.
Ketika ramai tumpuan dunia dialihkan ke Darfur, Sudan, nasib Palestin sebaliknya dianggap ramai, termasuk kalangan umat Islam masalah rutin yang tiada titik noktahnya biar apa juga usahanya. Masalah yang lazimnya disambut dengan ungkapan 'Kasihan.' Adilkah penderitaan Palestin apabila kuasa 'nadi' dunia iaitu sumber minyak dan wang banyak menjadi miliki mutlak negara Arab sendiri iaitu jiran Palestin? Israel sebaliknya, tidak perlu memiliki kekayaan minyak, masih dilindungi penuh sekutu negara besarnya.
Masalah yang melanda bukan lagi soal perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada cengkaman Zionis, tetapi mengisi perut biarpun sesuap cuma. Liga Arab dalam kenyataan medianya tanpa sebarang rasa malu berkata: "Setiausaha Agung Liga Arab Amr Moussa sudah menghubungi Presiden Mahmoud Abbas yang pertubuhan ini tidak dapat menyalurkan wang bantuan AS$70 juta (RM250 juta) sumbangan negara Arab." Alasannya, keengganan pihak bank memindahkan wang itu. Tidak logik rasanya kerana banyak lagi cara lain sumbangan itu boleh disalurkan termasuk diserahkan kepada PBB untuk ditukar dalam bentuk makanan dan bekalan ubat-ubatan. Alasan yang mungkin disebabkan takutkan AS andai dilihat mengingkari kata negara Polis Dunia itu.
Namun, di beberapa pelusuk dunia, masih ada insan yang prihatin. Pada April lalu, Tabung Mata Wang Arab (AMF) mengumumkan sumbangan AS$50 juta (RM180 juta) bagi membiayai projek meringankan penderitaan rakyat Palestin. Ini disusuli Kerajaan Qatar - negara Arab pertama mengumumkan memberikan AS$50 juta (RM180 juta) kepada Pihak Berkuasa Palestin pimpinan Hamas. Kerajaan Iran turut mengumumkan sumbangan AS$100 juta (RM360 juta) kepada Kerajaan Palestin - tambahan sekali ganda daripada jumlah asal yang diikrar sebelumnya. Akhbar Arab yang berpejabat di London, Al-Hayat melaporkan, Arab Saudi juga bercadang menyerahkan sumbangan AS$92 juta (RM330 juta) yang diikrar pada satu persidangan Arab di Khartoum, sebelum ini. Syria pula menetapkan tarikh 30 April lalu sebagai Hari Perpaduan dengan membabitkan aktiviti kutipan derma buat rakyat Palestin. Itu pada peringkat kerajaan negara. Namun, apa yang menyentuh perasaan, di sebalik kesengsaraan Palestin terlihat bibit-bibit kemuliaan hati kalangan rakyat biasa umat Islam yang sanggup melakukan apa saja demi meringankan beban saudara mereka. Kalangan pelarian Palestin di kem pelarian Ein-Hilweh, Lubnan , sanggup menyerahkan barang kemas dan wang ringgit hasil tabungan dalam kempen kutipan derma 5 Mei lalu, sebagai membantu rakan dan saudara mereka di bumi Palestin.
Pada hari sama, di Mesir misalnya, satu kempen besar-besaran mengutip sehingga $1 bilion euro bagi membantu penduduk Palestin, dilancarkan 5 Mei lalu. Seperti dijangkakan, berpusu-pusu penduduknya yang prihatin berbaris panjang memberikan sumbangan menerusi kempen kebajikan anjuran Gabungan Doktor Arab Mesir. Sebuah perkhidmatan berita Islam melaporkan, tidak sampai beberapa jam, kempen ‘Palestine Will Never Die’ itu berjaya mengumpul kira-kira AS$1.2 juta (RM4.5 juta) daripada lapisan masyarakat Mesir. Malah, seorang anak kecil menyumbangkan AS$1,800 (RM6,500) manakala abangnya, pula AS$180 (RM650). Seorang wanita muda pula tampil menyerahkan cincin pertunangannya dan disusuli ramai wanita yang turut menyerahkan barangan kemas masing-masing. Kalangan lelakinya juga enggan ketinggalan apabila seorang pemuda menyerahkan pangsapurinya untuk dilelong bagi mendapat bidaan tertinggi. Tidak ketinggalan, jam dan barangan milik pejuang Palestin yang sudah mati, turut dilelong bagi mengutip wang. Pengurus kempen, Ibrahim El-Zaafarani berkata, pihaknya juga membenarkan penyertaan peniaga Palestin menjual produk mereka seperti minyak zaitun di pameran sekitar Mesir bagi membantu.
Di Indonesia, Ahad lalu, lebih 10,000 penduduk negara itu membanjiri jalan raya sekitar Jakarta dan dua bandar lain mengecam tindakan Israel selain menggesa semua umat Islam mendermakan wang sekurang-kurangnya AS$1 (RM3.80 sen) kepada Palestin. Pengikut Parti Keadilan Sejahtera (PKS) itu turut berarak sambil memegang wang kertas bagi menyampaikan mesej murni mereka kepada penduduk dunia. Gambar mereka yang terpampang cukup menyentuh hati bukan saja warga Palestin, tetapi insan yang prihatin. Paling penting ia menjadi tamparan buat Israel dan konconya - semakin hebat hayunankayu mereka menghukum Palestin semakin ligatlah semangat intifada di hati ramai umat Islam di pelusuk dunia. Biarpun arusnya masih suam-suam kuku, tetapi usaha membantu Palestin tetap membara. Umat Islam tidak akan membiarkan peristiwa Nakba berulang lagi, bukan saja di bumi Palestin tetapi juga di Iran dan rantau lain. Cukuplah bukti Nakba di Iraq dan Afghanistan. Persoalannya, sejauh manakah Nakba ini dihayati kita? Tidak salah rasanya jika kempen membantu Palestin dihidupkan semula.
Kekejaman Israel tiada kesudahan.
Berita harian
14052006
Setelah membaca artikel ini, diri ini juga sedih dan terkilan, hanya disebut indonesia, Mesir ,Iran, Syria, Lubnan ...Dimanakah MALAYSIA???Di manakah negara ISLAM HADHARI??? Di manakah Negara yang memimpin OIC...Di manakah pemimpin-pemimpin kamu...Apakah sumbangan kamu terhadap Palestine???..Apakah yang sedang kamu lakukan..Adakah kamu sedang membolot harta kekayaan rakyat untuk kamu dan kroni-kroni kamu????
1 comments:
terima kasih atas bacaan nya, sgt2 menyentuh hati
Post a Comment