Esok ibu masak bubur lagi....

>> Wednesday, June 27, 2007

Inilah realiti yang berlaku....
Berikut antara luahan warkah seorang warga kota Kuala Lumpur yang sempat disampaikan kepada anaknya di sebuah sekolah berasrama penuh.

Assalamualaikum...

Kak Long yang dirindui,

Apa khabar anak ayah di sana? Semoga sihat dan bahagia selalu. Di sini, ayah bersama ibu dan adik-adik sihat sahaja.
Cuma semalam, adik usu mengadu sakit perut - berak-berak. Agaknya, perut adik dah tak tahan - bersebu sebab sejak beberapa hari adik asyik makan maggi aje. Itu yang semalam, dan hari ni, ibu masakkan bubur. Kesian tengok adik-adik kat rumah.

Masak bubur sepot beras dapatlah, ayah dan adik-adik makan kenyang sikit dengan kicap cap kipas yang Kak Long suka tu. Itulah, yang mampu ayah sediakan untuk hidangan malam ini dan malam tadi. Ayah tak tahu esok macamana. Mungkin ibu akan masak beras buat bubur lagi. Boleh kot, ayah ambikkan duit tabung adik usu untuk beli telur sebiji dua. Kalau goreng telur hancur dengan bubur, lainlah sikit menu daripada semalam. Harap-harap adik-adik tak akan merungut makan bubur lagi.

Kak Long,
Ayah bukan berniat nak merisaukan Kak Long yang sedang berada di asrama kini. Cuma ayah nak bagitau, kita sekarang dah tak sesenang dulu. Kalau dulu, sebulan sekali boleh kita
keluar untuk selebrate apa-apa event dengan makan di luar. Tapi kini, nak makan lauk ikan atau ayam sebulan sekali pun belum pasti lagi.

Keadaan ekonomi keluarga kita sudah tak seperti dahulu. Hidup kita makin terhimpit along. Ayah tak tahu, sampai bila lagi kita mampu terus hidup di bandar KL ini. Dengan gaji ayah
setelah tolak bersih duit EPF dan hutang syarikat, yang tinggal hanya sekitar RM1,800 sahaja sebulan. Bayangkanlah Kak Long, setiap bulan kereta yang kita gunakan perlu dibayar sebanyak RM550.00, sewa rumah - RM500.00, bil-bil telefon,air dan elektrik - RM250.00, bayaran duit yuran Kak Long, adik-adik dan persekolahan - RM200.00, duit minyak kereta dan tol untuk ayah berulang kerja - RM300.00, semua ini dah mencecah genap RM1,800 (sebulan gaji ayah).

Ini tak ditambah lagi dengan duit untuk sakit pening, balik kampung, belanja dapur dan pasar, simpanan dan keperluan harian lain. Kadang untuk belanja dapur, ayah terpaksa ambik
duit bayar kereta (kita dah tiga bulan duit kereta tertunggak). Pihak bank dah mula hantar surat kata nak tarik kereta. Ada sekali ayah gunakan duit yuran sekolah adik-adik untuk beli sayur dan sedikit ikan, akibatnya dua bulan yuran sekolah adik-adik tertunggak. Bil telefon pula, baru sebulan ayah tak bayar, pihak telekom dah hantar surat amaran nak potong. Memang agak susah hidup kita ini Kak Long.

Semalam, adik sakit perut ayah hanya dapat gosokkan minyak masak kat dapur pada perut adik. Selepas adik merengek sejam lebih, tertidur dia. Nak ke klinik, ayah dah tak tahu nak
cari duit kat mana.Duit-duit simpanan ayah dan ibu (termasuk duit di Tabung Haji) dah diguna masa daftarkan Kak Long masuk asrama dahulu.

Minggu lepas, ayah balik kampung dengan ibu. Jumpa dengan Pak Usu, Pak Uda dan Pak Lang, cuba bawa berbincang nak minta tolong. Tapi hampa. Kata mereka, tinggal kat KL takkan susah. Itulah agaknya, mentaliti orang kampung, dan tak belajar agaknya. Susah nak terima hahikat bahawa bukan semua di bandar ini senang dan mewah seadanya. Agaknya, orang kampung susah dapat berita. Atau orang kampung hanya dapat berita yang indah sahaja kat peti televisyen dan radio. Padahal, dalam dunia masa kini semuanya tidak seperti dahulu lagi. Dahulu kalau Kak Long ingat, duit RM50 boleh isi tangki minyak kereta agak penuh, sekarang hanya separuh aje. Duit tol dah tak sama kak long. Harga ayam setahun dua dulu dah tak sama dengan hari ini. Baru ni, harga barang-barang dapur dah naik. Makin susah. Adik Usu yang boleh makan roti canai setiap minggu dulu dah jarang dan susah nak makan (dulu RM0.50 - kini RM0.80).

Itulah, dilema ayah dan ibu kini Kak Long. Jika keadaan masih tak berubah, mungkin ayah lepas ni akan berpindah balik kampung. Rumah atuk, masih kosong. Cuma sayanglah, adik
ngah yang akan periksa UPSR tahun ni akan terjejaslah pelajaran dia sebab kena pindah sekolah. Adik usu yang mula nak kenal belajar Bahasa Inggeris, akan kelam kabutlah sebab guru kesayangan Bahasa Inggeris dia bertukar rupa. Makin susahlah adik Usu nak kuasai Inggeris. Dahlah, subjek Matematik dan Sains dalam periksa pertengahan tahun tempohari dia hanya dapat 'C'. Lepas ni tak tahulah pula apa nak berlaku.

Oh ya, Kak Long mungkin tertanya-tanya apa dah jadi dengan projek jual nasi lemak dan kerepek kat pejabat ayah dulu? Ayah dan ibu dah sepakat untuk menghentikan jualan-jualan
tersebut.

Pertama; setiap malam ayah dan ibu bersengkang mata sehingga jam 1 pagi untuk siapkan bahan-bahan untuk berjual nasi lemak dan esoknya terpaksa pula bangun jam 4 pagi -
akibatnya Kak Long, ibu sering sakit-sakit, kesihatan ibu terjejas.

Kedua; bukan ayah nak mengata, tapi realitinya dalam dunia berniaga begitulah. Kadang-kadang ada yang membeli dengan berhutang. Dan bila berhutang tak ada pula yang
membayar.Ada pula yang ambil begitu aje tanpa bagitahu, akibatnya modal hilang, dan ayah serta ibu terpaksa keluarkan modal baru setiap kali nak berjual. BUkan ayah nak menuduh
semua, tetapi akibat setitik nila habis rosak susu sebelanga.
Ketiga; kenaikan harga barang mentah dah tak dapat nak ayah dan ibu untuk menampungnya. Maklumlah, bukan berniaga secara besar, hanya kecil-kecilan. Itu yang agak susah.
Maka, disebabkan itulah ayah dan ibu ambil keputusan untuk hentikan jualan kecil-kecilan itu.

Kak Long,
Ayah harap Kak Long rajin-rajinlah belajar. Berusahalah menjadi anak yang cemerlang bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam agama. Berusahalah, jangan sia-siakan peluang yang Kak Long dapat untuk belajar di sekolah asrama tu. Ayah harap Kak Long akan berjaya. Berjaya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Cuma dalam mengejar cita-cita Kak Long, ayah berharap Kak Long beringatlah. Kita kini
bukan orang senang. Hidup dah tak macam dulu. Kalau Kak Long boleh berjimat, berjimatlah sehabis baik.

Ayah tahu, yuran asrama Kak Long tertunggak dua bulan. Bersabarlah. Bagitau pada cikgu, ayah akan jelaskan. Cuma bukan dalam masa terdekat ini. Insya-Allah, ayah akan cuba sedaya upaya untuk jelaskannya sebelum berakhirnya sesi persekolahan tahun ini.

Cuma selepas ini, ayah tak pasti berapa kerap lagi ayah akan mampu menulis. Bukan apa, kadang memikir, duit pos (setem Rm0.40) boleh ayah gunakan belikan dua biji telur untuk
adik-adik makan tengahari bila mereka balik sekolah.
Jadi, janganlah Kak Long bersedih ok. Tabahkan hati. Ayah tahu, anak ayah seorang yang tabah, cekal dan sentiasa berusaha yang terbaik.

Dan akhir sekali, maafkan ayah kerana membebani Kak Long dengan segala kisah yang berlaku ini. Bukan apa, sebagai anak ayah yang sulung ayah rasa Kak Long berhak tahu dan wajar
memahami apa yang sedang berlaku dalam keluarga ini.

Sekian, ibu dan adik-adik menyampaikan salam rindu pada Kak Long.

Wassalam.
15 Jun 2007 - 11.45 malam


0 comments:

Web Counters
Old Navy Promotion Code