Alam Mahsyar...Renung-renungkanlah dan insafilah...

>> Saturday, August 29, 2009

ALAM MAHSYAR

1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam ( حوض ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.
2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

15. ‘Arasy ( عرش ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16. Kursi ( كرسي ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Read more...

RAMADHAN KARIM 1430....

>> Wednesday, August 26, 2009

KELEBIHAN RAMADHAN

1.Dibelenggu para syaitan dan jin.
Menurut Imam As-Syafie hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini.

“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka,….(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaitan dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah menggunakan 11 bulan untuk menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan di belenggu.Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”(Bukhari & Muslim)

2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70 kali.

“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu, maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan, bersamaan 7 tahun solat jumaat. Pahala solat Jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan haji. Solat Jumaat pada minggu akhir Ramadhan adalah solat Jumaat yang istimewa. Qadha solat fardhu juga diberi 70 kali ganda pahala. Sedekah RM1 dalam bulan Ramadhan adalah sama dengan RM70 di luar Ramadhan.

“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)

3. Pintu neraka ditutup.

Pada bulan Ramadhan, kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.

4. Dibuka semua pintu syurga.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari). Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini. Orang-orang miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.

5. Allah perhiaskan syurga.

Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik. Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan bertemu bakal suaminya di syurga.
Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .

6. Dilepaskan tahanan neraka

Dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan Ramadhan) Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan do’anya.”

7.Ramadhan ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Telah datang kepadamu Ramadan, penghulu segala bulan. Maka selamat datanglah kepadanya, telah datang kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang itu.” Layanlah tetamu mengikut apa yang dia suka, misalnya jika dia suka makan ikan, hidangkanlah masakan ikan. Sepertimana orang yang melayan tetamu dengan baik, seluruh ahli rumah itu akan diberi keampunan setelah tetamu itu pulang, begitu juga Ramadhan, jika kita mengikut kehendak dan disiplin yang ditetapkan pada bulan itu, maka kita juga akan mendapat keampunan.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Abu Daud)“

8. Tawaran Pengampunan dosa lepas dan akan datang (2 tahun)

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

Rasulullah bersabda “Siallah (rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan”.

Read more...

H1N1: Perutusan Presiden (Doa Tolak Wabak)

>> Saturday, August 15, 2009

Penularan wabak H1N1 yang melanda seluruh dunia dan negara kita Malaysia secara khususnya telah menyebabkan satu suasana yang sangat membimbangkan seluruh rakyat pada waktu ini. Ternyata virus ini tidak mengenal mangsa, samada tua atau muda atau kaya miskin seseorang itu. Sesungguhnya ini adalah ujian Allah SWT kepada kita.


Dalam hal ini, pertamanya PAS ingin merakamkan ucapan takziah kepada rakyat yang telah kehilangan anggota keluarga mereka dalam siri serangan virus ini. Semoga mereka akan terus memperkuatkan semangat dalam berhadapan dengan suasana yang menekan ini.

Kedua, agensi kerajaan yang mendepani dalam menghadapi wabak ini iaitu Kementerian Kesihatan juga seharusnya diberi pelbagai ruang dan sumber yang secukupnya supaya kakitangan kementerian ini dapat menjalankan tugas mereka dengan penuh professional dan selamat. Segala nasihat yang disampaikan dan tindakan yang diambil oleh mereka ini perlu
dipandang dengan serius oleh semua pihak.

Dalam pada itu juga, segala prosedur dan proses bagi mendapatkan bahan ubatan untuk menghadapi wabak ini yang dijangka berada di pasaran dalam tempuh beberapa bulan lagi juga seharusnya dipermudahkan.

Ketiga, PAS menyeru supaya pihak-pihak institusi pendidikan di semua peringkat yang menempatkan golongan pelajar dalam kelompok yang ramai ini juga untuk mempermudahkan segala proses membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan pencegahan terhadap penularan ini.

Keempat, sekiranya diperlukan untuk membantu mana-mana pihak atau sesiapa sahaja dalam suasana sebegini, maka PAS telah bersedia untuk menggerakkan seluruh tenaga sukarelawan menerusi Unit Amal, Lajnah Kebajikan, tenaga doktor dan kaunseling serta alim ulama untuk membantu rakyat dalam menghadapi wabak ini.

Ini adalah sumbangan PAS kepada seluruh rakyat supaya kita sama-sama dapat menghadapi suasana ini secara bersama tanpa mengira fahaman politik.


Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Read more...

"Pergi Tak Kembali" Al-Fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)

>> Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim vokalis kumpulan Nasyid Rabbani yang pergi menemui Allah hari ini. Saya doakan agar rohnya dirahmati Allah dan di letakkan dikalangan hamba-hambanya yang soleh. Bagi saya almarhum banyak berjasa kepada manusia, dengan suaranya yang cukup merdu dengan alunan nasyid dan zikir munajatnya sesekali membuat kita tenang dan mengingati Allah.

Saya rasa, saya salah seorang yang terkesan dengan nasyid beliau terutamanya lagu-lagu beliau semasa dalam kumpulan Nada Murni ketika dulu. Alhamdulillah hingga kesaat ini, Ianya membuatkan saya minat terhadap lagu lagu nasyid berbanding lagu-lagu yang yang melalaikan yang ada pada hari ini.. Teringat saya masa sekolah dahulu, antara nasyid yang yang pertama kali didengari dari kumpulan Nada Murni antaranya Assalamualikum, Sunnah berjuang..petani.
Alhamdullillah bermula dari situ, minat mendengar alunan nasyid sebati didalam jiwa.. Terima kasih banyak-banyak atas jasa beliau...mudah-mudahan setiap apa yang dilakukan semasa hidup beliau menjadi bekalan dan sentiasa mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggalkan kita hari ini.

_______________________
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.

Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia. Sementara itu, Harakahdaily ketika menghubungi salah seorang petugas pemasaran kumpulan nasyid itu mengesahkan berita tersebut. Badrulhisham Jamaluddin daripada bahagian pemasaran kumpulan Rabbani mengesahkan bahawa Ustaz Asri meninggal dunia selepas rebah di RTM pagi tadi. "Saya tidak tahu apa puncanya,"katanya yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Pahlawan Nasyid

Dalam pada itu, anggota Kumpulan Nasyid Raihan menyifatkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang juga vokalis Kumpulan Rabbani sebagai 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti.
Salah seorang anggota kumpulan terbabit, Che Amran Ibrahim ketika dihubungi memberitahu, pemergian vokalis nasyid yang bersuara ?emas? itu amat sukar dicari ganti.

"Berita kematiannya yang mengejutkan itu memang memeranjatkan kami, sama seperti anggota kami yang telah meninggal dunia dahulu allahyarham Zaiery yang pergi dengan cara mengejut,"ujarnya dalam sebak menahan kesedihan. Beliau seterusnya memberitahu, Asri yang bersuara 'emas' sebenarnya ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.

Jelasnya, walaupun Rabbani hanya ditubuhkan pada tahun 1998, namun namanya telah lama terkenal dengan seni irama nasyid sejak sekian lamanya khususnya sewaktu menganggoti Nadamurni. "Begitu juga anggota Raihan yang ditubuhkan sebenarnya turut mendapat respond yang baik dari allahyarham sendiri, bahkan allahyarham turut memberi saranan supaya perbanyakkan kumpulan nasyid. "Ianya bertujuan supaya masyarakat turut mendapat hiburan alternatif yang menjurus kepada Islam sebagai mengimbangi lagu-lagu versi lain yang ada pada hari ini,"ujarnya.

Ulama nasyid

Kali terakhir bertemu dengan allahyarham dua malam lalu untuk berbincang tentang program nasyid yang bakal diadakan bersama selepas ini. Sementara itu, anggota Kumpulan Hijjaz, Isman Hisyam,40, menyifatkan allahyarham sebenarnya seorang ulama yang masyhur dalam nasyid.
"Walaupun kita nampak dia bernasyid, tetapi sebenarnya dia seorang ulama bahkan tempat anggota kumpulan nasyid membuat rujukan khususnya tentang Islam,"ujarnya.

Beliau yang kini berada di Kota Bharu untuk promosi Kopi Hijjaz, bagaimanapun melahirkan rasa terkilan sebab tidak dapat pulang menziarahi allahyarham buat kali terakhir kerana masaalah tiket penerbangan telah habis. Menurutnya, semua tiket sama ada MAS, Firefly, Air Asia kesemuanya habis untuk penerbangan hari ini.

Jelas Isman lagi, beliau amat terkejut dengan berita yang baru diterima apabila salah seorang anggota Kumpulan Rabbani 'Azadan' menghubunginya memberitahu Asri sudah meninggal dunia. "Kami macam adik beradik walaupun berlainan kumpulan sebab kumpulan nasyid mana-mana pun menuju ke arah yang sama iaitu membawa manusia ke jalan yang benar serta sentiasa mengaggungkan Allah,"ujarnya. Tambahnya, lagipun kumpulannya sentiasa merangkakan program bersama khususnya rakaman 'zikir' bersama Rabbani.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua peminat Rabbani khususnya umat Islam mendoakan kesejahteraan allahyarham agar mendapat limpahan rahmat yang tidak perbah putus. "Kami juga berharap semua peminat seni nasyid tanah air supaya bersabar menerima berita yang begitu menyentuh jiwa ini,"ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.
Untuk rekod, salah seorang anggota Hijjaz, iaitu Salleh telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru, ianya diikuti dengan anggota kumpulan Raihan, Zaery meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa bulan selepas itu. Juara ABP lapan tahun berturut-turut

Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Beliau menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya. Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana? Ke Mana?' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'. -
AL-FATIHAH!!!

Read more...

Himpunan Anti ISA: Pengalaman Pertama Bersama Rakyat - Luahan Zaid Ibrahim

>> Tuesday, August 04, 2009

Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.

Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata, mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA.

Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi. Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita. Bila polis kata perhimpunanan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis. Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.

Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club, kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.
Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai. Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi.
Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Seorang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib manusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.
Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersuara, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam.
Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri. Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ.
Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.
Memang jelas hak dan kebesan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat.
Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.
Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman.
Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.
Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salaha guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.

Read more...

Derita anak seorang tahanan ISA

>> Saturday, August 01, 2009

Assalamualaikum...


Bersempena dengan Demotrasi Mansuhkan ISA hari ini...marilah kita sama sama mendalami dan menghayati luahan hati, derita sengsara yang dialami sendiri oleh seorang anak tahanan ISA..Cuba kita bayangkan jika sekiranya ianya berlaku atas kepala kita sendiri, atau terhadap anak kita sendiri..

Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkanlah ...Ajal dan maut sentiasa mengekori kita... apalah kuasa yang ada pada kita, apalah kemewahan yang ada pada kita, apalah kekayaan yang ada pada kita..paling lama 65 tahun, 70 tahun, 80 tahun.....

Buatlah zalim sesuka hati kamu, Bermegahlah kamu sesuka hati kamu, Berdabik dadalah kamu sesuka hati kamu!!!!!!

TAPI INGAT!!!! Balasan Allah tetap akan berlaku.....

_____________________________

DERITA ANAK SEORANG TAHANAN ISA

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga. Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...
Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....
Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....
7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...


*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah.

Read more...

Web Counters
Old Navy Promotion Code