"Pergi Tak Kembali" Al-Fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)

>> Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah buat Ustaz Asri Ibrahim vokalis kumpulan Nasyid Rabbani yang pergi menemui Allah hari ini. Saya doakan agar rohnya dirahmati Allah dan di letakkan dikalangan hamba-hambanya yang soleh. Bagi saya almarhum banyak berjasa kepada manusia, dengan suaranya yang cukup merdu dengan alunan nasyid dan zikir munajatnya sesekali membuat kita tenang dan mengingati Allah.

Saya rasa, saya salah seorang yang terkesan dengan nasyid beliau terutamanya lagu-lagu beliau semasa dalam kumpulan Nada Murni ketika dulu. Alhamdulillah hingga kesaat ini, Ianya membuatkan saya minat terhadap lagu lagu nasyid berbanding lagu-lagu yang yang melalaikan yang ada pada hari ini.. Teringat saya masa sekolah dahulu, antara nasyid yang yang pertama kali didengari dari kumpulan Nada Murni antaranya Assalamualikum, Sunnah berjuang..petani.
Alhamdullillah bermula dari situ, minat mendengar alunan nasyid sebati didalam jiwa.. Terima kasih banyak-banyak atas jasa beliau...mudah-mudahan setiap apa yang dilakukan semasa hidup beliau menjadi bekalan dan sentiasa mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggalkan kita hari ini.

_______________________
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) - Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.

Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia. Sementara itu, Harakahdaily ketika menghubungi salah seorang petugas pemasaran kumpulan nasyid itu mengesahkan berita tersebut. Badrulhisham Jamaluddin daripada bahagian pemasaran kumpulan Rabbani mengesahkan bahawa Ustaz Asri meninggal dunia selepas rebah di RTM pagi tadi. "Saya tidak tahu apa puncanya,"katanya yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Pahlawan Nasyid

Dalam pada itu, anggota Kumpulan Nasyid Raihan menyifatkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang juga vokalis Kumpulan Rabbani sebagai 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti.
Salah seorang anggota kumpulan terbabit, Che Amran Ibrahim ketika dihubungi memberitahu, pemergian vokalis nasyid yang bersuara ?emas? itu amat sukar dicari ganti.

"Berita kematiannya yang mengejutkan itu memang memeranjatkan kami, sama seperti anggota kami yang telah meninggal dunia dahulu allahyarham Zaiery yang pergi dengan cara mengejut,"ujarnya dalam sebak menahan kesedihan. Beliau seterusnya memberitahu, Asri yang bersuara 'emas' sebenarnya ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.

Jelasnya, walaupun Rabbani hanya ditubuhkan pada tahun 1998, namun namanya telah lama terkenal dengan seni irama nasyid sejak sekian lamanya khususnya sewaktu menganggoti Nadamurni. "Begitu juga anggota Raihan yang ditubuhkan sebenarnya turut mendapat respond yang baik dari allahyarham sendiri, bahkan allahyarham turut memberi saranan supaya perbanyakkan kumpulan nasyid. "Ianya bertujuan supaya masyarakat turut mendapat hiburan alternatif yang menjurus kepada Islam sebagai mengimbangi lagu-lagu versi lain yang ada pada hari ini,"ujarnya.

Ulama nasyid

Kali terakhir bertemu dengan allahyarham dua malam lalu untuk berbincang tentang program nasyid yang bakal diadakan bersama selepas ini. Sementara itu, anggota Kumpulan Hijjaz, Isman Hisyam,40, menyifatkan allahyarham sebenarnya seorang ulama yang masyhur dalam nasyid.
"Walaupun kita nampak dia bernasyid, tetapi sebenarnya dia seorang ulama bahkan tempat anggota kumpulan nasyid membuat rujukan khususnya tentang Islam,"ujarnya.

Beliau yang kini berada di Kota Bharu untuk promosi Kopi Hijjaz, bagaimanapun melahirkan rasa terkilan sebab tidak dapat pulang menziarahi allahyarham buat kali terakhir kerana masaalah tiket penerbangan telah habis. Menurutnya, semua tiket sama ada MAS, Firefly, Air Asia kesemuanya habis untuk penerbangan hari ini.

Jelas Isman lagi, beliau amat terkejut dengan berita yang baru diterima apabila salah seorang anggota Kumpulan Rabbani 'Azadan' menghubunginya memberitahu Asri sudah meninggal dunia. "Kami macam adik beradik walaupun berlainan kumpulan sebab kumpulan nasyid mana-mana pun menuju ke arah yang sama iaitu membawa manusia ke jalan yang benar serta sentiasa mengaggungkan Allah,"ujarnya. Tambahnya, lagipun kumpulannya sentiasa merangkakan program bersama khususnya rakaman 'zikir' bersama Rabbani.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua peminat Rabbani khususnya umat Islam mendoakan kesejahteraan allahyarham agar mendapat limpahan rahmat yang tidak perbah putus. "Kami juga berharap semua peminat seni nasyid tanah air supaya bersabar menerima berita yang begitu menyentuh jiwa ini,"ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.
Untuk rekod, salah seorang anggota Hijjaz, iaitu Salleh telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru, ianya diikuti dengan anggota kumpulan Raihan, Zaery meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa bulan selepas itu. Juara ABP lapan tahun berturut-turut

Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Beliau menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya. Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana? Ke Mana?' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'. -
AL-FATIHAH!!!

0 comments:

Web Counters
Old Navy Promotion Code