Konsep Pelaburan Zakat Menurut Perspektif Islam... Bhg (1).

>> Tuesday, November 11, 2008

P/s- Asingment ini dibuat sebagai tugasan untuk dibentangkan dalam Kursus Feqh Muamalah yang diambil pada sem yang lalu. Tidak dinafikan terdapat kekurangan yang tidak dapat dielakkan. Sebarang cadangan dan komentar amat-amat dialukan. Mudah-mudahan ada manafaat untuk dikongsi bersama
1.0 PENDAHULUAN

Zakat merupakan salah satu tunjang ekonomi dalam membentuk kesejahteraan kehidupan umat Islam, yang tidak dapat lari dari tempias arus kemajuan ekonomi yang melanda dunia hari ini. Projek-projek yang timbul ekoran daripada kepesatan ekonomi telah membuka ruang pelaburan yang luas di dalam berbagai bidang, umpamnya perindustrian, perkilangan, pertanian dan sebagainya lagi.

Persoalan yang timbul ialah adakah wang zakat boleh dilaburkan ke dalam projek-projek sebagai langkah untuk membantu umat Islam, sedangkan ianya adalah hak asnaf lapan?. Jika boleh, siapakah yang dibenarkan untuk melakukan pelaburan tersebut?. Dan adakah keuntungan/ pulangan daripada pelaburan zakat yang dilaksanakn juga dikenakan zakat?. Dan bagaimanakah dengan upah pekerja-pekerja yang terlibat dengan kerja/ projek pelaburan, adakah upah mereka boleh dibayar dengan menggunakan wang zakat dan bagaimanakah ciri-ciri pelaburan zakat yang dikehendaki syara’?

Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan menbincangkan mengenai pelaburan secara sepintas lalu dan konsep pelaburan zakat mengikut perspektif Islam serta permasalahan yang berkaitan denganya.

2.0 PELABURAN

Pelaburan merupakan perkara yang penting dalam pembangunan ekonomi kerana ia merupakan satu jalan yang boleh mengembangkan tenaga kearah kehidupan yang lebih baik dan selesa. Banyak cara dan institusi-institusi yang dapat memainkan peranan dalam bidang pelaburan, diantanya bank. Maka bank secara tidak lansung berperanan dalam pembangunan ekonomi dan seterusnya membawa kebaikkan kepada masyarakat.

2.1 DEFINASI PELABURAN

2.1.1 Pelaburan menurut bahasa

Pelaburan di dalam bahasa Arab ialah Istithmar ( استثمار ), berasal dari kalimah Thamar ( ثمر ), iaitu buah. Istithmar ( استثمار ) bermaksud ( طلب الثمر ) iaitu tuntutan untuk membuahkan atau memperbanyakkan. Dikatakan seseorang itu memperbanyakkan hartanya dengan melaburkannya iaitu memperbanyakkanya dengan menyuburkanya.[1]
Allah s.w.t menyebut di dalam Al-Quran tentang “membanyakkan harta” yang memberi erti tentang maksud pelaburan. Firman Allah s.w.t maksudnya:

"Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh Dengan pengikut-pengikutku Yang ramai".[2]

2.1.2 Pelaburan Menurut Istilah Fekah

Para ulama Fekah telah menggunakan perkataan Istithmar ( استثمار ) dengan maksud ialah suatu usaha untuk mendapatkan hasil atau keuntungan. Ia juga digunakan bagi maksud menyuburkan harta dan menambahkanya. Mereka banyak menggunakan maksud tersebut di dalam, Al-Mudharabah, as-Syarikah, al-Murabahah dan as-Salam.[3]
Diantara ahli feqah yang memakai kalimah tersebut dengan pengertian di atas ialah Imam Malik di dalam kitabnya al-Muwato’ ( الموطأ ) di awal bab al- Qirad sebagaimana tertulis di dalam kitab syarah al-Muwatto’ iaitu al-Muntaqo’ karangan al-Baaji menyatakan: “ Abu Musa as-Saari telah mengambil inisiatif terhadap harta dengan melabur dan memperelokkanya”.[4]

Az- Zamakhsyaari [5] juga menggunakan menggunakan pengertian tersebut di dalam menafsirkan firman Allah s.w.t, maksudnya:

"Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang Yang belum sempurna akalnya akan harta (Mereka Yang ada Dalam jagaan) kamu, (harta) Yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka Dengan kata-kata Yang baik".

2.1.3 Pelaburan Menurut Istilah Ekonomi.

Menurut pendapat Sayyid al- Hawaari, bahawa pelaburan ialah meletakkan ssesuatu harta dengan tujuan mendapatkan keuntungan atau pulangan yang dijangkakan dalam jangkamasa panjang pada waktu yang akan datang.[7]
Manakala Osman Rani di dalam “Kamus Istilah Ekonomi” menyatakan istilah pelaburan mempunyai dua makna yang berkaitan iaitu:

1) Dalam istilah ekonomi, ia dimaksudkan dengan penggunaan barang-barang modal untuk proses pengeluaran. Pembinaan jalanraya atau kilang adalah contoh-contoh pelaburan modal benar.

2) Sebagai istilah kewangan, ia merujuk kepada pembelian saham atau bon atau penyimpanan wang dalam institusi kewangan untuk mendapatkan pulangan.[8]

Daripada definasi dibuat, dapatlah dikatakan bahawa secara umumnya pengertian pengetian pelaburan yang sejajar dengan penggunaan masa kini yang meluas ialah mengektifkan dan menggunakan wang atau harta dalam satu jangkamasa tertentu dengan tujuan memperolehi keuntungan atau pulangan. Pelaburan juga tidaklah semestinya berupa wang keran kadang-kadang keuntunganya adalah berupa barangan ataupun berpa manafaat.
Oleh itu, menurut Muhamad Uthman Shubair bahawa definasi yang terbaik bagi “Pelaburan Zakat” ialah: sesuatu usaha untuk menambahkan harta-harta zakat (wang ataupun barangan) pada suatu tempoh, dengan bentuk-bentuk dan cara-cara penambahan atau penyuburan yang dibenarkan oleh syara; dan hasilnya adalah untuk asnaf zakat”.

2.2 BENTUK-BENTUK PELABURAN ISLAM

Diantara bentuk-bentuk yang diguna pakai dalam pelaburan Islam ialah berikut:-

2.2.1 Mudharabah
Iaitu suatu perjanjian diantara dua orang atau lebih dimana seorang atau lebih daripada mereka menjadi pembiaya, sementara yang lain-lain menyediakan suatu perusahaan perniagaan dengan tujuan mencari untung. Keuntungan yang diperolehi akan dibahagikan mengikut yang dipersetujui dan kerugian akan ditanggung oleh setiap pembiaya mengikut saham masing-masing.

2.2.2 Musyarakah
Adalah merupakan akad perkongsian diantara dua orang atau lebih dengan modal dibahagikan sesama mereka. Setiap individu yang menyertai Musyarakah dikehendaki menyediakan modal dan usaha bersama keatas suatu projek perniagaan. Setiap peserta hendaklah bersedia menghadapi keuntungan atau kerugian.

2.2.3 Murabahah
Ia merupakan jual beli berdasarkan rundingan awal diantara penjual dan pembeli. Barang tersebut dijual dengan harga modal dan ditambah untung sekadar yang dipersetujui. Contohnya, bank membeli barang yang hendak dibeli oleh pelanggan, kemudian bank menjual barang tersebut kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi dari harga belian.

2.2.4 Al- Ijaarah
Iaitu menjual manfaat dengan harga/ bayaran yang ditetapkan. Manfaat ialah gunaan seperti kediaman bagi rumah, tunggangan bagi kenderaan dan sebagainya yang berhubung dengan sewa menyewa.

2.2.5 Al- Bai’ Bithaman A’jil (BBA)
Ia adalah jualan dengan harga tangguh. Penjual barang menyerahkan barang kepada pembeli dengan serta merta dan pembeli menangguhkan pembayaran harga barang tersebut kepada suatu tempoh tertentu atau membuat bayaran secara ansuran. Kebanyakkan ahli fekah mengharuskan bayaran tinggi keatas barang itu berbanding dengan harga tunai.[9]

2.3 PERBEZAAN DIANTARA PELABURAN ISLAM DAN KONVESIONAL

Teori ekonomi mengiktiraf empat faktor pengukuran dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dengan masing-masing mendapat ganjaran:-

i) Tanah dengan sewa sebagai ganjaran.
ii) Buruh dengan gaji sebagai ganjaran.
iii) Modal/ wang dengan faedah sebagai ganjaran.
iv) Pengusaha dengan untung sebagai ganjaran.

Terdapat perbezaan diantara pelaburan Islam dan Konvesional, antaranya ialah:-

1) Dalam Pelaburan Konvensional, modal/ wang dianggap satu faktor yang tersendiri dan berhak mendapat ganjaran dalam bentuk faedah. Faedah tersebut berhak diterima tanpa mengambil kira keuntungan yang diperolehi daripada suatu projek yang menggunakan modal tersebut. Pemilik modal menerima faedah tanpa sebarang risiko. Berlainan dengan Pelaburan Islam, yang tidak menganggap modal sebagai faktor pengerluaran tersendiri. Modal hanya diakui sebagai gabungan dengan faktor pengusaha. Dengan ini Islam tidak mengiktiraf faedah sebagai ganjaran kepada modal.

2) Pelaburan Islam mengamalkan konsep untung bersama. Apabila berlaku keuntungan maka kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan berdasarkan kepada perjanjian yang dibuat. Berlainan Pelaburan Konvesional, keuntungan adalah berdasarkan kepada perkara yang telah ditetapkan di awal perjanjian tanpa mengambil kira projek yang dilaksanakan mendapat keuntungan atau tidak.

3) Dalam Pelaburan Konvesional, wang adalah bernilai berdasarkan masa yang telah pelabur korbankan daripada menggunakanya. Berlainan Pelaburan Islam, ianya tidak wujud dan wang dalam Islam hanya bergantung kepada ekonomi dan keadaan perniagaan.[10]

Bersambung ke bahagian kedua.....

Rujukan:
[1] Fairuz Abadi. T.th .Qomus Al-Muhith. Beirut, Muassasah Ar Risalah. Hlm.1:397
[2] Al- Quran. Al-Kahfi 18:34.
[3] As-Syarqowi. 1985. al-Istishmar’ al- Amwal al- Islamiyah. Hlm 14.
[4] Al Baaji. T.thm. Al- Muntaqo Fisyarhi al- Muwatho’. Hlm 150.
[5] Al –Zamakhsyari. 1972. Jld 1. Hlm 500.
[6] Al-Quran. Al-Nisa’ 4:5
[7] Ssyyid al-Hawari. T.thn. Hlm 43.
[8] Osman Rani. 1987. Kamus Istilah Ekonomi. Hlm 162
[9] Norazidah Abd. Aziz. 1991. Sistem Pelaburan Islam: perlaksanaanya di Bank Islam Malaysia Berhad. UKM. Hlm 4.
[10] Ibid. Hlm. 5

0 comments:

Web Counters
Old Navy Promotion Code