Konsep Pelaburan Zakat Menurut Perspektif Islam...Bhg (2)

>> Wednesday, November 19, 2008

3.1 HUKUM PELABURAN ZAKAT


Pelaburan zakat kadang-kadang dilakukan oleh asnaf selepas menerimanya, kadang-kadang pula dilakukan oleh pemilik harta zakat dana adakalanya pelaburan tersebut dilakukan oleh pihak pemerintah atau institusi yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan zakat. Setiap keadaan yang dinyatakan mempunyai hukum-hukumnya yang tertentu dan akan diterangkan seperti berikut:-

3.1.1 Pelaburan Asnaf Zakat

Bagi masalah perlaburan yang dibuat oleh Asnaf zakat, para ahli feqah telah berselisih kepada dua pendapat seperti berikut:-

3.1.1.1 Pendapat petama:

Sebahagian ahli fekah mengharuskan bagi asnaf zakat melaburkan zakat yang telah diterima. Ini kerana, zakat yang telah sampai kepangkuan mereka adalah menjadi milik mereka yang sempurna, mereka bebas membelanjakannya dan menguruskannya mengikut kehendak mereka sendiri seperti membangunkan projek-projek pelaburan, membeli peralatan perusahaan dan lain-lain lagi.

Ada juga yang berpandangan mengharuskan pelaburan bagi asnaf ini bahwa jika seseorang fakir itu mempunyai kemahiran dalam suatu bidang contohnya tukang kayu, dia harus diberi bantuan zakat dengan kadar yang mencukupi untuk membeli peralatan pertukangan kayu supaya dia dapat membiayai keperluan hidupnya secara berterusan hasil daripada keuntungan usahanya itu. Begitulah juga dengan kemahiran bidang-bidang yang lain
Manakala bagi mereka yang tiada kemahiran dan tidak boleh bekerja disebabkan penyakit berpanjangan, mereka hendaklah diberi bantuan zakat untuk membeli harta-harta tetap seperti rumah dan tanah dimana hasilnya nanti boleh menampung keperluan kehidupan diri serta ahli keluarnganya dimasa akan datang.[1]

3.1.1.2 Pendapat kedua:

Menurut al-Bahuthi dan al- Sharbini, sebahagian ahli feqah yang lain pula membezakan keharusannya dikalangan golongan penerima asnaf zakat yang difirmankan Allah s.w.t :
Maksudnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana..
Empat golongan yang pertama iaitu orang-orang fakir, miskin, amil dan muallaf disandarkan dengan huruf ‘lam” ( لام ) yang bermaksud “pemilikan”. Pemilikan mereka ke atas zakat adalah sebab yang tetap, oleh itu pemilikan mereka adalah mutlak. Mereka boleh membelanjakan zakat mengikut kehendak mereka sendiri.

Manakala empat golongan akhir iaitu al-riqab, al-ghaarimin, fisabilillah dan ibnu al-sabil disandarkan dengan “fi al-zarfiyyah” ( في الظرفية ) yang bermaksud pemilikan mereka keatas zakat adalah terikat ( مقيد ) mengikut keperluan seperti orang yang berhutang hanya untuk melunaskan hutangnya sahaja. Oleh itu, jika di dapati mereka menggunakan zakat tersebut untuk perbelanjaan yang lain selain keperluan yang dikhususkan, maka zakat tersebut hendaklah ditarik balik.[3]

Walaupun ahli-ahli feqh Mazhab Shafie mengatakan bahawa empat golongan akhir adalah terikat mengikut keperluan khas setiap golongan, namun mereka mengharuskan kepada empat golongan tersebut untuk melaburkan zakat yang mereka perolehi sebagaimana yang diharuskan kepada empat golongan awal. Umpamanya, hamba-hamaba diharuskan untuk meniagakan bahgian zakatnya untuk menambahkan bahagian tersebut dan melepaskan diri dari perhambaan, begitu juga diharuskan kepada orang-orang yang berhutang untuk berniaga denganya bagi mendapatkan penambahan jika bahgian tersebut tidak cukup untuk membayar hutang sebagai telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi.[4]

3.1.2 Pelaburan Pemilik Harta Zakat

Sebagaimana dimaklumi, bahawa zakat wajib dikeluar daripada harta-harta tertentu seperti tanaman, ternakan, emas, perak dan sebagainya tatkala mencukupi kadar nasab dan sampai haul. Tetapi yang menjadi persoalanya ialah apabila seseorang itu mengeluarkan hartanya yang telah mencapai kadar wajib zakat untuk dilaburkan, adakah pelaburan terebut diharuskan oleh syara?.
Jawapan untuk persoalan ini sebenarnya adalah berkait rapat dengan masalah kewajipan mengeluarkan zakat ( apabila cukup syarat-syaratnya), adakah dengan kadar yang segera atau boleh diperlambat-lambatkan?.

Di dalam memperkatakan mengenai masalah penyegeraan atau kelewatan pembayaan zakat, para ahli fekah telah berselisih pendapat mengenainya. Pendapat – pendapat mereka bolehlah dirumuskan kepada dua pendapat seperti berikut:-

3.1.2.1 Pendapat petama:

Jumhur ahli fekah yang terdiri daripada pendapat terpilih daripada Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali mengatakan bahawa zakat wajib dikeluarkan dengan segera apabila memenuhi syarat-syaratnya.[5]

Antara hujjah-hujjah dan dalil-dalil mereka ialah:-

i) Firman Allah s.w.t Maksudnya:
Dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.
Yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah zakat dan perintah Allah tersebut adalah berbentuk segera.
[7]

ii) Hajat orang fakir dan miskin yang sedia menanti patut ditunaikan, oleh itu penyegeraan mengeluarkan zakat dengan kadar yang segera adalah wajib.[8]

iii) Zakat adalah suatu ibadat yang berulang setiap tahun, oleh itu ianya tidak diharuskan untuk menangguhkannya sehingga sampai tiba waktu wajib yang mendatang, ia juga seperti solat dan puasa.[9]

3.1.2.2 Pendapat kedua:

Sebahagian ahli-ahli feqh Mazhab Hanafi seperti Abu Bakar al Jassas dan lain-lain berpendapat bahawa kewajipan mengeluarkan zakat boleh dilambat-lambatkan. Kelewatan atau kelambatan yang mereka maksudkan ialah sepanjang masa dia masih hidup ataupun ke akhir hayatnya sebelum dia meninggal.[10]
Mereka mengatakan bahawa zakat adalah wajib dikeluarkan apabila mencukupi syarat-syaratnya tetapi waktu pengeluaranya adalah mutlak, iaitu tidak ditentukan bila masanya. Apabila seseorang menunaikan zakat pada bila masa sekalipun, maka dia dikira telah melaksanakan kewajipannya.
Jika seseorang itu belum mengeluarkan zakat sehingga hampir sampai ke akhir hayatnya dan dia mempunyai waktu yang cukup untuk menunaikanya, -walaupun sempit – serta dia juga menyedari dia akan meninggalkan selepas jangkamasa itu dan dengan izin Allah dia meninggal dalam keadaan tidak menunaikan zakat, maka dia dikira berdosa.

Antara hujjah-hujjah dan dalil-dalil meraka ialah:-

i) Perintah mengeluarkan zakat adalah mutlak , oleh itu perintah ini adalah umum waktunya dan terkandung maksud ‘ boleh dilewatkan’.

ii) Tidak menjadi tanggungjawab pemilik harta zakat dan tidak dikenakan ganti rugi terhadapnya jika berlaku sebarang kebinasaan ke atas zakat yang telah cukup syarat dan hanya menunggu masa untuk dikeluarkan. Oleh itu jika sekiranya zakat itu diwajibkan dengan yang segera, nescaya dia dimestikan menggantikannya seperti orang yang melewatkan puasa Ramadhan daripada waktu sebenarnya yang diwajibkan menggantikan puasanya.[11]

Di dalam masalah ini, pendapat yang lebih tepat hujjahnya serta diterima pakai dalam mempraktikkan kaedah pengeluaran zakat ialah pendapat Jumhur ahli fekah (pendapat pertama) yang mengatakan zakat wajib dikeluarkan dengan segera setelah cukup nisab dan sampai haulnya. Ini bertepatan dengan Firman Allah s.w.t:

a) Maksudnya: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh).

b) Maksudnya:Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal Yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga Yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang Yang bertaqwa;

Hujjah dan dalil pendapat kedua mengenai perintah zakat yang mengandungi maksud “boleh dilewatkan” adalah tidak tepat, kerana perintah mutlak mengikut pendapt ulam Usul Fiqh yang mashur tidak membawa maksud “segera” atau “lewat” tetapi hanya membawa maksud yang tersurat dalam perintah tersebut. “Kesegeraan” yang dikaitkan dengan sesuatu perkataan yang menunjukkan maksud perintah tersebut. Contohnya perkataan ( وأتوا ) yang bererti “ dan keluarkanlah” adalah berbentuk perintah umum, tetapi apabila dilihat kepada maksud keseluruhan ayat ( واتوا حقه يوم حصاده ) yang bermaksud “ dan keluarkanlah haknya(zakatnya) pada hari memtik dan menuainya”, maka ia membawa pengertian perintah yang berbentuk “segera” iaitu zakat wajib dikeluarkan dengan segera apabila telah cukup nisab dan sampai haulnya.
Sementara hujjah meraka yang kedua iaitu tidak dikenakan gantirugi terhadap kebinasaan nisab tatkala sampai waktu wajib keluar zakat, tidak tepat dan tidak boleh dibuat hujjah keran itu adalh masalah yang tidak disepakati hukumnya. Bagi mereka yang mengatakan bahawa zakat wajib dikeluarkan segera ( jumhur ahli fekah), mereka mewajibkan gentian bagi kerosakkan dan kebinasaan nisab tersebut.[14]
Jumhur ahli fekah juga menyatakan bahawa pengeluar zakat tidak diharuskan untuk melewatkan pengeluaran zakatnya tanpa sebarang keuzuran yang dibolehkan oleh syara’. Pandangan yang dibenarkan adalah seperti penangguhan untuk yang lebih berhajat ataupun orang yang mempunyai ikatan kekeluargaan denganya.
Adapun “pelaburan” tidak dianggap oleh syara’ sebagai suatu keuzuran yang tidak boleh membawa sebarang kelewatan untuk mengeluarkan zakat. Oleh itu, tidak diharuskan kepada pemilik zakat harta zakat untuk melaburkan harta/wang zakatnya, kerana pelaburan hanya akan melambat-lambatkan tujuan penyegeraan zakat iaitu untuk memenuhi serta menampung hajat fakir miskin dan asnaf lain yang sememangnya sentiasa enantikan bantuan tersebut.

3.1.3 Pelaburan Pemerintah/ Badan-badan/ institusi –institusi Zakat.

Hasil-hasil zakat yang dikumpulkan sama ada melalui amil-amil atau petugas-petugas yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip zakat, akan diserahkan kepada pihak pemerintah atau badan-badan/ institusi-institusi yang mewakili pemerintah untuk urusan pengagihan dan segala urusan lain yang berkaitan dengan zakat.
Persoalanya, apabila zakat sampai ketangan pentadbir (pemerintah atau badan/institusi ), adakah ianya boleh dilaburkan ke dalam projek-projek yang mempunyai potensi yang baik?.
Dalam hal ini, ulama masa kini telah berselisih pendapat mengenainya kepada dua pandapat, seperti berikut:-

3.1.3.1 Pendapat petama:

Sebahagian ulama seperti Wahbah az-Zuhaili, Abdullah Ulwan, Syeikh Muhammad Taqi al-Uthmani, Syeikh Adam dan Muhamad Ata’ al Sayyid berpendapat bahawa pihak pemerintah atau badan/ intitusi yang mewakilinya tidak diharuskan untuk melakukan pelaburan terhadap hasil-hasil zakat.[15]

Hujjah-hujjan dan dalil-dalil mereka, diantaranya ialah:-
i) Dengan melaburkan zakat kedalam projek-projek tersebut akan melambatkan proses agihan kepada asnafnya, kerana hasil daripada pelaburan tersebut akan hanya diperolehi dalam suatu tempoh yang lama dan ia memerlukan penantian. Ini adalah bercanggah dengan pendapat jumhur yang mengatakan bahawa zakat wajib disegerakan pengeluaranya.[16]

ii) Pelaburan berkemungkinan akan mendatangkan kerugian dan kehilangan harta/ wang zakat, kerana perniagaan adakalanya untung dan adakalanya pula rugi.[17]

iii) Pelaburan zakat akan menyebabkan penafian pemilikan individu terhadap zakat tersebut. Ini adalah bercanggahan dengan pendapat jumhur yang mengsyaratkan “pemilikan” di dalam penyerahan zakat, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam surah at-Taubah ayat 60, dimana asnaf disandarkan dengan huruf “lam” ( لام ) yang bermaksud pemilikan.

iv) Imam atau pemerintah atau wakilnya hanya diberi amanah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat kepada asnafnya, bukan untuk dibelanjakan atau dilaburkan.

v) Kerja-kerja pengurusan untuk proses pelaburan akan menyebabkan pembiayaan dan perbelanjaan yang banyak dari zakat itu.

3.1.3.2 Pendapat kedua:

Jumhur ulama (kebanyakan) dikalangan ulama masa kini seperti Ustaz Mustafa al Zarqo’, yusuf al Qordhawi, Mohd Soleh al Farfur, Abdul Aziz al-Khayyat dan ramai lagi berpendapat bahwa diharuskan kepada pemerintah atau wakilnya untuk melaburkan hasil-hasil zakat ke dalam projek-projek pelaburan sama ada hasil zakat bertambah ataupun tidak.[18]
Yusof al Qardhawi di dalam Majallah Majma’ al-Fiqh al Islami berkata: “ Berpandukan kepada pendapat mazhab yang “ mengkayakan” orang-orang fakir dengan zakat, institusi-institusi Zakat yang mempunyai sumber –sumber dan hasil-hasil yang banyak boleh menubuhkan badan-badan perniagaan atau seumpamanya untuk berkecimpung dalam projek-projek perusahaan. Separuh atau kesemua sahamnya hendaklah dimiliki oleh orang-orang fakir dan mereka tidak boleh menjualkanya”.

Abd. Aziz al Khayyat juga berpendapat bahawa zakat adalah perlu diaktifkan dan dilaburkan ke dalam projek-projek kebajikan, perusahaan dan perniagaan untuk kebaikan asnaf.[19]

Hujjah-hujjah dan dalil-dalil mereka, diantaranya ialah:-

i) Nabi Muhammad s.a.w dan khulafa’ Al Rashidin telah melakukan pelaburan dengan mengembangkan gharta-harta zakat seperti unta, lembu dan kambing. Ini memandangkan binatang-binatang tersebut mempunyai potensi yang baik di dalam perbiakan dan perkembangan.[20

ii) Fi sabilillah ( في سبيل الله ) mengikut tafsiran al Razi ialah merangkumi semua jenis kebaikkan seperti untuk memakmurkan masjid, membina kilang-kilang dan lain-lain lagi yang memboleh membri manafaat kepada orang-orang islam. Oleh itu, pelaburan juga satu daripada jenis kebaikan yang mana hasilnya adalah untuk asnaf-asnaf.

iii) Imam al Nawawi berpendapat bahawa bahagian ( في سبيل الله ) boleh digunakn untuk membeli peralatan perang atau membuat kilang untuk membuat peralatn tersebut dan dijadikan harta wakaf untuk kemaslahatan ummah. Jika ia diharuskan oleh Islam, maka begitulah juga dengan penubuhan institusi pelaburan zakat apabila keadaan memerlukan dan ia diwakafkan ke atas nama asnaf, hasil keuntungannya kembali kepangkuan asnaf.

iv) Qias kepada keharusan pelaburan harta anak-anak yatim dan harta-harta wakaf. Jika penjaga harta anak-anak yatim diharuskan melabur harta tersebut untuk kebaikkan anak yatim dan harta wakaf untuk kaebaikkan si pewakaf, begitulah juga dengan zakat yang mana pelaburanya adalah untuk manafaat asnaf.

v) Al-Istihsan- walaupun pada asalnya pelaburan tidak boleh tetapi memandangkan kepada hajat dan keperluan semasa serta kos kehidupan yang semakin meningkat, maka pelaburan zakat harus dilakukan untuk menjamin kestabilan ekonomi bagi menampung keperluan dan permintaan para asnaf yang semakin hari semakin bertambah.[21]

Setelah meneliti dalil kedua-dua pendapat di atas, maka pendapt jumhur yang mengharuskan pelaburan zakat oleh pemerintah atau institusi-institusi zakat adalah lebih relevan untuk diterima pakai.

Ini adalah kerana beberapa sebab seperti berikut:-

i) Pada asalnya zakat yang telah dikumpul oleh pihak pentadbir zakat hendaklah disegerakan. Kelewatan pengagihan hanya dibolehkan jika sekiranya ada keperluan dan maslahah kepada asnaf contohnya pelaburan untuk menjamin kestabilan ekonomi/ tabungan asnaf dan pelaburan yang memberi peluang pekerjaan kepada asnaf seperti membina projek-projek pembinaan dan lain-lain dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan syara’.

ii) Pendapat yang mengatakan pelaburan akan mendatngkan kerugian dan kehilangan harta zakat hanya akan menyekat usaha-usaha untuk mengembang dan menambahkan harta tersebut, serta menutup pintu kea rah itu. Ini adlah bercanggahan dengan Isla yang menggalakkan umatnya untuk memajukan hartanya melalui bidan perniagaan. Apa yang penting sebelum pelaburan dilakukan, pakar-pakar hendaklah dihantar untuk meninjau serta mengkaji segala espek yang berkaitan dengan pelaburan tersebut, supaya kerugian dapt dihindari. Abdul Latif al –farfur berpendapt bahawa andaikata berlaku kerugian, maka kerugian tersebut hendaklah ditanggung oleh pihak Baitulmal atau Perbendaharaan Negara agar hak asnaf tetap terjamin dari sebarang kerugian.

iii) Proses pengurusan pelaburan tidak perlu menggunakan wang zakat kerana perbelanjaan tersebut boleh diambil dari perutukan amil yang menguruskan zakat kerana pelaburan juga termasuk dalam katogeri pengurusan.

iv) Pemerintah atau pihak institusi zakat boleh melakukan pelaburan zakat tanpa perlu meminta izin daripada asnaf terlebih dahulu, kerana mengikut jumhur alaupun zakat adalah hak asnaf tetapi apabila ianya sampai ketangan pemerintah, mereka boleh mempercepatkan proses agihan atau melewatkannya berdasarkan kepada maslahah dan kebaikan asnaf itu sendiri.

Selain daripada pendapat ulama yang menyatakan keharusan pelaburan zakat oleh pemerintah atau wakilnya sebagaimana yang telah disebutkan, terdapat juga fatwa-fatwa mengenai keharusan pelaburan tersebut diantaranya ialah:-

a) Fatwa majlis Perhimpunan Kefahaman Islam di Muktamar ketiga berlansung di Amman Jordan (8-13 Safar 1408h bersamaan 11-16 Okt 1986).

b) Fatwa majlis Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait pada tahhun 1986.

c) Fatwa Syeikh Abd Fattah Abu ghudah selaku ketua Majlis Fatwa kementerian Wakaf Arab Saudi pada 29 Muharram 1405H di Riyad.


Bersambung ke bahagian terakhir.....


Rujukan:
[1] Al –Nawawi. 1972. Jld 6. Hlm 132/ al-Sharbini. 1958. jld 3. Hlm 114.
[2] Al-Quran. At-Taubah 9:60.
[3] Al –Bahuti.1982. Kasyful al-Qana’ fi-Syarhi al-Iqna’. Jld 2. Hlm 282/ al- Sharbini. 1958. Jld 3. Hlm 106.
[4] Al-Nawawi Imam .1972. al- Majmuk fi as-Syarhi al-Muhazzab. Hlm 150.
[5] Al- Kassani. 1972. jld 2 Hlm 3./al Dusuqi. T.thn. jld 1. hlm 503
[6] Al-Quran. Al-Anam.6:141
[7] Muhammad Muflih.1981. Hlm 2:3
[8] Ibn –Al-humam. 1977. Jld 2. Hlm 155/ ibn Quddamah t.thn. Jld 2. Hlm 684.
[9] Ibn – Al Quddamah. T.thn. al-Mughni . Jld 2. Hlm 685.
[10] Al-Kassani. Al-Badaai’ fi tartib al-Shari’.1972. Jld 2. Hlm 2.
[11] Ibid. Jld 2 Hlm 3.
[12] Al-Quran. Al Maidah 5:48
[13] Al- Quran . Ali Imran . 3:133.
[14] Al-Kassani. 1972. al-Badaai’ fi tartib al-Shari’. Jld 2. Hlm 3.
[15] Majalah Majma’ al Fiqh al Islami. 1987. Jld 3. Hlm 313-420.
[16] Abdullah Ulwan. 1978. A’la Dhoui al-Mazaahib al-Arbaa’h. Hlm 97.
[17] Syeikh Adam. 1987. Jld 3. Hlm 335-337.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Muhd Uthamn Shubair. T.thn. hlm 32.
[21] Al –Farfur. 1987. Jld 3. Hlm 335-336.

0 comments:

Web Counters
Old Navy Promotion Code