Konsep Pelaburan Zakat Menurut Perspektif Islam...Bhg (Akhir)

>> Tuesday, November 25, 2008

3.2 ZAKAT HASIL DARIPADA PELABURAN ZAKAT

Pada dasarnya zakat tidak diwajibkan keatas harta benda melainkan ia dimiliki oleh pemilik tertentu. Harta atau wang zakat di Baitulmal tidak dikira dibawah pemilikan tertentu kerana baitulmal hanya pemegang amanah dan badan pengurus harta tersebut, bukan pemilik. Oleh itu, bagi harta atau wang zakat di Baitulmal yang hanya disimpan tanpa digunakan atau diaktifkan dalam tempoh bebrapa tahu, ianya tidak dikenakan zakat.

Adapun bagi harta atau wang zakat di baitulmal yang dilaburkan ke dalam projek-projek pembangunan dan pelaburan, berlainan situasinya dengan hal yang pertama. Dalam masalah ini ulama teleah berselisih pendapat mengenainya kepada beberapa pendapat.

Pendapat-pendapat mereka ini adalah diqiaskan kepada zakat harta wakaf seperti berikut:-

i) Mazhab Hanafi- Zakat tidak diwajibkan ke atas hasil daripada pelaburan zakat. Ini adalah kerana harta wakaf seperti binatang yang diwakafkan dan kuda terbiar juga tidak diwajibkan zakat. Hujjah mereka adalah kerana harta-harta tersebut tidak mencukupi syarat wajjib zakat iaitu pemilikan mutlak.

ii) Mazhab Maliki- Zakat di wajibkan ke atas hasil daripada pelaburan zakat. Ini adalah kerana harta wakaf dikira ada pemiliknya, samaada pewakaf atau penerima wakaf. Diwajibkan ke atas pewakaf sebelum menyerahkan wakafnya kepada penerima wakaf jika telah cukup nisab dan haulnya. Penerima wakaf pula diwajibkan keatasnya selepas menerima wakaf tersebut setelah sampai nisab dan haulnya. Haul bermula pada masa ia menerima wakaf tersebut.

iii) Mazhab Syafie dan Hambali telah membahagikan kepada dua keadaan. Pertama: Jika diwakafkn kepada pihak yang tertentu (umum) seperti pihak masjid, sekolah dan fuqara’, maka tidak diwajibkan zakat.

Kedua: Jika diwakafkan kepada penerima zakat yang telah ditentukan seperti Ali dan Zaid, mereka berselisih pandanganya kepada dua pendapat:-

i. Sebahagian ahli feqah Mazhab Shafie dan Hambali berpendapat bahawa ia diwajibkan zakat kerna hak pemilikan telah ditentukan dengan perpindahan hak daripada pewakaf kepada penerima wakaf.

ii. Sebahagian daripada mereka pula menyatakan bahawa ia tidak diwajibkan kerana pemilikan harta wakaf telah berpindah kepada hak Allah seperti juga halnya dengan wakaf kepada umum.

Menurut Muhd Uthman Shubair, pandangan yang lebih tepat dalam masalah zakat wakaf ialah pendapat Mazhab Shafie dan Hambali kerana penerima wakaf khas mempunyai hak total terhadap manafaat yang diperolehi daripada wakaf harta tanpa campur tangan pihak lain.

Daripada pendapt kedua-dua mazhab tersebut ( Shafie dan Hambali), boleh dibuat kesimpulan terhadap hukum zakat hasil yang diperolehi daripada pelaburan zakat seperti berikut:-

a) Hasil daripada pelaburan zakat yang dilaburkan atas nama individu seseorang fakir seperti Ahmad dan Ali, dikenakan zakat jika melebihi daripada kadar keperluan asas mereka. Ini kerana mereka adalah pemilik mutlak ke atas hasil tersebut.

b) Hasil daripada pelaburan zakat yang dilakukan untuk faedah umum (asnaf) tanpa menentukan individu tertentu tidak diwajibkan zakat, kerana tiada pemilikan tertentu ke atas hasil tersebut.

3.3 KOS PERKHIDMATAN PELABURAN ZAKAT

Pada asasnya sesuatu pekerjaan atau usaha yang dilakukan selain daripada usaha kebajikan atau sukarela, akan diberi upah atau bayaran sebagai balasan kepada tenaga yang telah dicurahkan sama ada yang berbentuk mental atau fizikal. Begitu juga dengan projek-projek/ usaha-usaha pelaburan zakat yang menggunakan tenaga kerja bagi melaksankanya, pekerja-pekerja yang terlibat perlu dibayar dan diberi upah/ gaji di atas titik peluh yang mereka curahkan bagi menjayakan projek/ usaha pelaburantersebut. Persolan yang timbul ialah mengenai sumber bayaran tersebut, adakah patut diambil daripada Baitulmal atau daripada zakat? Dan berapakah jumlah yang sepatut dibayar kepada mereka.

3.3.1 Sumber upah/ gaji kepada pekerja

Bagi bayaran gaji / upah kepada pekerja-pekerja yang menguruskan pelaburan zakat, akan dinilai mengikut jenis penglibatan mereka, sama ada mereka terlibat secara khusu ataupun hanya secara umum sahaja.

Bagi individu yang hanya terlibat dengan pengurusan atau penyeliaan pelaburan secara umum seperti kadi, hakim atau pegawai yang dilantik oleh institusi zakat yang mana gajinya mereka telah dibayar dengan menggunakan wang Baitulmal atau Perbendaharaan Negara dan tidak akan diberi upah/ bayaran tambahan melalui bahagian zakat. Ini adalah kerana gaji mereka dibayar kerana tugasan yang mereka lakukan iaitu menyelia atau memerhatikan semua tugasan Negara, dan penyeliaan zakat yang bermula dari peringkat mengumpul, menjaga dan mengagihnya adalah termasuk di bawah tanggungjawab mereka. Oleh kerana itu, mereka tidak perlu diberi ganjaran tambahan dengan bahagian zakat dan mereka tidak berhak terhadap mana-mana bahagian zakat.

Manakala bayaran gaji bagi pekerja-pekerja yang terlibat secara khusus atau sepenuh masa seperti kerani, akauntan dan penyelia projek, ahli-ahli fekah telah berselisih pendapat seperti berikut:-

i) Kebanyakan ulama semua mazhab menyatakan mereka yang telibat secara sepenuh masa boleh diberi gaji/ bayaran dengan menggunakan bahagian zakat. Ini kerana mereka semua adalah tergolong dalam pengertian " عاملين " (petugas zakat) dan berhak terhadap zakat. Sepertiman firman Allah s.w.t: Maksudnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya.

Pemerintah juga diharuskan membayar gaji mereka yang terlibat dengan usaha pelaburan dengan menggunakan wang Baitulmal tanpa melibatkan bahagian zakat. Tidak bermakna gaji mereka semestinya dibayar melaui zakat sahaja.

Berdasarkan pendapat Imam Nawawi tersebut, Muhd Uthman Shubair menyatakan bahawa kos perbelanjaan untuk membiayai projek-projek pelaburan boleh diambil daripada Baitulmal ketika awal perjalanan projek, tetapi apabila projek telah dilaksanakan dan memperolehi keuntungan, maka tidak menjadi kesalahan jika kos tersebut diambil daripada keuntungan daripada projek tersebut.

ii) Ahli-ahli feqh Mazhab Maliki berpendapat pekerja-pekerja tersebut tidak akan diberi gaji/ upah melalui zakat tetapi dibayar menggunakan wang Baitulmal. Ini diqiaskan pekerja-pekerja tersebut dengan penjaga zakat.

Setelah diperhati kedua pendapat di atas, maka pendapat kebanyakkan ahli fekah yang mengatakan bahawa gaji mereka boleh dibayar melalui zakat adalah lebih tepat utnuk diterima pakai. Ini kerana kesemua masa kerja mereka telah dihabiskan untuk mengurus pelaburan zakat dan dianggap sebagai ‘petugas-petugas zakat’( عاملين ), maka tidak ada masalah gaji mereka dibayar dengan menggunakan zakat sememangnya mereka berhak terhadapnya.

3.3.2 Kadar bayaran gaji/ upah kepada pekerja

Mengenai kadar atau jumlah yang sepatutnya dibayar kepada mereka yang terlibat dengan projek/ usaha pelaburan zakat, ahli-ahli fekah berselisih pendapat mengenainya.
Menurut kebanyakkan ahli fekah, bahawa mereka diberi gaji/ upah setimpal dengan kerja yang mereka lakukan. Tiada perbezaan antara orang kaya dan miskin. Semua pekerja dianggap sama bukanya mengikut taraf atau kedudukan mereka.

Manakala menurut ahli-ahli fekah Mazhab Hanafi, pekerja-pekerja tersebut akan diberi gaji/ upah yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka. Mereka akan diberi gaji/ upah mengikut status kehidupan mereka. Ini kerana mereka telah melibatkan diri dalam pekerjaan tersebut secara sepenuh masa, oleh itu sumber pendapatan mereka hanya bergangtung kepada gaji/ upah daripada pekerjaan tersebut sahaja.

Berdasarkan kepada kedua-kedua pendapat dan alasan mereka, pendapat kebanyakkan ahli fekah yang mengatakan bahawa seseorang pekerja hanya akan dibayar mengikut usaha yang telah dilakukan adalah lebih tepat kerana bayaran yang sewajarnya adalah bayaran setimpal dengan sesuati pekerjaan yang dilakukan. Seseorang itu juga adalah tidak berhak untuk mendapatkan bayaran yang lebih daripada titik peluhnya sendiri.

3.4 CIRI-CIRI PELABURAN ZAKAT MENGIKUT KEHENDAK SYARA’

Sebagaimana yang telah dibincangkan bahawa pelaburan zakat adalah diharuskan kepada pemerintah atau institusi-institusi pentadbiran zakat. Namun terdapat beberapa ciri-ciri penting yang harus dijaga dan diambil kira dalam melaksankan aktiviti pelaburan tersebut supaya tidak tersasar dari landasan yang dibenarkan oleh syara’.

Antara ciri-ciri tersebut ialah:

1) Tiada desakan untuk mengagihkan zakat dengan segera. Seandainya keperluan asnaf adalah mendesak maka ketika itu pelaburan tidak diharuskan.

2) Tujuan pelaburan adalah untuk kemaslahatan asnaf. Oleh itu hajat dan keperluan asnaf hendaklah dijadikan keutamaan dslam pelaburan. Sekiranya zakat dilaburkan dalam bentuk pelaburan tetap seperti kilang-kilang, bangunan dan tanah, maka harta-harta tersebut hendaklah dijual untuk menampung keperluan asnaf apabila hasil daripada pelaburan tidak mencukupi bagi tujuan tersebut.

3) Perlaburan hendaklah dilakukan dalam bidang-bidang atau projek-projek yang dibenarkan oleh syara’ sahaja. Manakala bidang pelaburan yang diharamkan seperti pelaburan yang berkonsepkan riba, perjudian, perniagaan barangan haram dan seumpamnya lagi dilarang sama sekali.

4) Hasil-hasil pulangan pelaburan hanyalah untuk kegunaan asnaf kerana itu adalah hak mereka. Sekiranya asset-aset pelaburan dijual, wangnya hendaklah dimasukkan ke dalam ‘perbendahraan zakat’.

5) Penyelidikan dan kajian mendalam serta menyeluruh harus dilakukan oleh pakar-pakar terlebih dahulu seblum dijadikan sandaran pelaburan. Sekiranya hasil kajian mendapati kebarangkalian untuk mendapatkan keuntungan adalah positif, maka pelaburan boleh dilaksanakan. Jika sebaliknya, pelaburan adalah dilarang.

6) Hal ehwal pengurusan pelaburan hendaklah diserahkan kepada mereka yang pakar dan berpengalaman serta amanah.

7) Dasar pelaburan hendaklah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa dan tahu selok-belok mengenai pelaburan, juga yang arif mengenai hukum-hakam Syariah Islam.

3.5 KESIMPULAN

Permasalahan zakat semakin hari semakin berkembang dan bercambah, contohnya masalah pelaburan zakat ke dalam projek-projek perindustrian, pembangunan dan lain-lain lagi yang sebelum ini tidak pernah dibincangkann di dalam karya-karya atau kitab-kitab fekah terdahulu.
Dalam mencari penyelesaian dan jawapan bagi persoalan pelaburan tersebut, ramai dikalangan ulama dan pakar ekonomi Islam masa kini telah meluahkan pendapat serta pandangan mereka mengenainya melalui tulisan-tulisan dan kertas kerja yang dibentangkan dalam perhimpunan dan seminar. Hasil daripada perbincangan dan perdebatan mereka telah membuahkan beberapa jawapan yang relevan untuk diterima pakai dan sinonim dengan perkembangan ekonomi serta tuntutan kehidupan semasa.

Walaupun ada yang tidak bersetuju, namun ramai yang mengatakan bahawa zakat boleh dilaburkan oleh asnaf, begitu juga diharuskan kepada pemerintah atau institusi-institusi zakat untuk melaksanakn pelaburan tersebut dengan syarat-syarat dan cirri-ciri yang telah digariskan oleh syara’. Hanyak pemelik harta/ wang zakat sahaja yang tidak diharuskan untuk berbuat demikian. Ini adalah kerana zakat adalah hak asnaf yang wajib disegerakan dan tidak boleh ditangguhkan.

4.0 PENUTUP

Islam sememangnya mengesyorkan dan menggalakkan umatnya untuk mencari jalan bagi menambahkan hasil kekayaan hartanya, asalkan tidak melampaui batasan yang dibenarkan. Begitu juga halnya dengan zakat, apa cara dan apa jenis sekalipun sktivit yang dijalankan untuk mengembangkan hasilnya, batasan hendaklah dijaga. Keutamaan hendaklah diberikan kepada fakir miskin di dalm memenuhi hajat dan keperluan mereka, kerana tujuan asal pelaburan dilakukan adalah demi membantu taraf ejonomi mereka supaya dapat berdikari pada hari-hari mendatang.

0 comments:

Web Counters
Old Navy Promotion Code